Siakap Keli
Gambar Hiasan

Guru Hamil 37 Minggu Ditikam Suami, Selamat Melahirkan

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) — Seorang wanita yang hamil 37 minggu yang ditikam suaminya di rumah mereka di Presint 9 di sini pukul kira-kira 9.50 pagi semalam, selamat melahirkan bayinya menerusi kaedah pembedahan sebaik tiba di hospital, dan keadaan kedua-dua ibu dan anak kini stabil.

Dalam kejadian semalam, guru berumur 35 tahun itu dikatakan terpaksa memandu sendiri dari rumahnya ke Hospital Putrajaya sejauh kira-kira 3 kilometer selepas ditikam untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata wanita itu mengalami pendarahan di jari kiri, lengan tangan kanan, dua kesan hirisan di perut dan juga luka di belakang kanan badan.

Beliau berkata wanita itu dirujuk ke Jabatan Obstetric dan Ginekologi serta Ortopedik untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit di bahagian perut, dan kemudiannya berjaya melahirkan bayi lelakinya melalui pembedahan.

“Guru wanita itu masih masih dirawat di hospital dan keadaannya stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rosly berkata suami wanita itu yang berumur 39 tahun yang bekerja sebagai jurutera audio ditahan direman sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan polis turut merampas barang kes iaitu sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Siasatan awal turut mendapati suspek tiada rekod jenayah, katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa