Siakap Keli
Kredit: Red Deer Newborn Photography

Bayi Maut Dengan 89 Kesan Lebam, Lecur Serta Calar Baru Dan Lama, Suami Isteri Ditahan

SEPANG, 11 Nov (Bernama) — Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut dengan pelbagai kesan luka dan lebam pada beberapa bahagian badan dipercayai berpunca daripada penderaan, kata Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali.

Menurut Abdul Aziz, ibu bapa bayi berkenaan yang merupakan penjawat awam ditahan di perkarangan Hospital Serdang pada Isnin lalu setelah pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan hospital tersebut memaklumkan tentang kematian seorang bayi dengan kesan kecederaan.

Bayi itu telah dihantar ibu bapanya ke hospital dengan kesan luka pada bahagian dagu, atas kening kanan, bengkak dan luka pada kemaluan serta lebam dan parut pada bahagian badan termasuk kedua-dua tangan dan kaki, katanya.

Mangsa yang dibawa ke hospital pada 6.50 pagi disahkan meninggal dunia pada 7.20 pagi pada hari yang sama.

“Bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras dan lebih kurang 89 kesan lebam, lecur serta calar baru dan lama di seluruh anggota badan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ekoran itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 42 dan 37 tahun berkenaan direman sehingga 18 November ini.

Selain itu kata Abdul Aziz, polis turut mereman seorang wanita berusia 33 tahun yang merupkan rakan sekerja ibu mangsa dan rakan serumah di Sungai Merab.

Siasatan awal mendapati masalah kemurungan menjadi antara punca suspek bertindak sedemikian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.