Siakap Keli
Gambar hiasan

Polis Tahan Warga Namibia Cekik, Kerat Teman Wanita

SEPANG, 11 Nov (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki warga Namibia bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita warga Nigeria dalam keadaan bogel dan anggota badannya dipotong di sebuah apartment di Cyberjaya, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata suspek berumur 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan JSJ IPD Sepang di satu laluan pejalan kaki di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dua hari selepas penemuan mayat berkenaan.

Dalam sidang media di sini hari ini, Abdul Aziz berkata kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara kedua-dua mereka di apartment berkenaan sebelum suspek yang dipercayai teman lelaki wanita itu bertindak membunuhnya dengan mencekik leher.

Bagi menghapuskan bukti, suspek bertindak memotong kedua-dua tangan wanita itu yang ditemui anggota polis di dalam tong sampah di tingkat enam bangunan yang sama.

Abdul Aziz berkata kaki kanan wanita yang berusia 33 tahun itu juga didapati hampir putus akibat dipotong.

“Polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan bagi memotong anggota badan mangsa,” katanya, sambil menambah suspek juga memiliki dua rekod jenayah iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek seorang bekas pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Lembah Klang yang ditamatkan pengajiannya tahun lepas.

Abdul Aziz berkata hubungan antara supek dan mangsa terjalin selepas mereka berkenalan melalui media sosial, dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula 9 November lepas,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.