Siakap Keli
Kredit: Google

20 Kanak-Kanak Hilang Di Melaka Sejak 9 Tahun Lepas Belum Ditemui & Tiada Petunjuk – Polis

MELAKA, 12 Nov (Bernama) – Seramai 20 kanak-kanak hilang sejak sembilan tahun lepas di negeri ini masih belum ditemui sehingga kini.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, polis belum memperoleh sebarang petunjuk sama ada mereka masih berada di dalam negara atau sebaliknya.

Mangsa merupakan antara 303 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah yang dilaporkan hilang sejak 2010 hingga Oktober ini di mana 93 peratus daripada mangsa telah dijumpai, katanya.

“Kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan disebabkan beberapa faktor antaranya konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya dan lari mengikut kekasih.

“Sesetengahnya mengalami tekanan akibat ibu bapa yang bercerai dan menimbulkan kes perebutan penjagaan anak-anak menyebabkan mereka rasa tidak disayangi seterusnya mencari rakan sebaya untuk mencurahkan perasaan dan sekiranya tersalah memilih kawan mereka akan terpesong.

“Punca kes ini berlaku menimbulkan kegusaran masyarakat , justeru semua pihak khasnya ibu bapa, keluarga dan komuniti termasuk polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan yang aktif bagi menangani masalah ini,” katanya selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah bertemakan ‘Kehilangan Kanak-Kanak, Dimanakah Silapnya?’ di sini hari ini.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Kamal Affandi Hashim dan Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka (MGBM) Mohd Ridhuan Mohd Ali.

Katanya, masyarakat yang lebih bersikap individualistik menyebabkan semangat kejiranan dan kekitaan semakin berkurang di mana kedua-dua sikap ini penting untuk membendung jenayah.

“Jika kita lihat kanak-kanak berjaya dijumpai semula adalah hasil kerjasama masyarakat, NGO selain hebahan media sehingga mereka kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.