Siakap Keli
Kredit: The Conversation/Louisiana Sportsman

Dipercayai Tangan Tercucuk Kulit Udang Ada Kuman Berbahaya, Lelaki Temui Ajal Kena Jangkitan

Xiaoshan, China – Seorang lelaki warga emas maut akibat jangkitan bakteria yang dipercayai berpunca daripada luka akibat tercucuk udang yang dibelinya tiga hari sebelum dimasukkan ke hospital.

Wang, 60 telah mengalami demam, bengkak kaki dan lebam berwarna ungu kehitaman sebelum dibawa ke hospital setelah tidak sedarkan diri.

Berikutan keadaannya yang tidak stabil serta mengalami kegagalan organ, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan diberi tiga jenis antibiotik untuk melawan jangkitan bakteria berkenaan namun gagal.

Bakteria karnivor

Hasil pemeriksaan mendapati Wang telah dijangkiti Vibrio Vulnificus, sejenis bakteria karnivor yang mudah tersebar melalui produk laut seperti udang, ketam dan kerang.

Pesakit yang dijangkiti bakteria ini akan mengalami beberapa simptom antaranya demam secara tiba-tiba, cirit birit, rasa sejuk dan kulit melepuh. Kadar kematian disebabkan jangkitan ini boleh melebihi 50 peratus.

Akibat infeksi tersebut, Wang mengalami kesan melepuh pada kaki kanan serta kulit menjadi hitam disebabkan tisu kakinya yang mati atau dikenali sebagai necrotizing fasciitis.

Keadaan kaki apabila tisu dimakan bakteria / ‘necrotizing fasciitis’. (Kredit: Wikipedia)

Menurut Prof Huang Man, mangsa turut mengalami hypersplenism sebelum itu yang menyebabkan sel darah putih dan platelet lebih rendah berbanding individu normal yang lain serta membuatkan mangsa tidak mampu melawan serangan berkenaan.

Beliau menasihatkan agar orang ramai terus membersihkan luka jika terkena produk laut kerana produk tersebut mudah menyebarkan kuman terutamanya melalui luka.

Selain itu, beliau turut mengingatkan individu yang mengalami simptom demam dan kemerah-merahan setelah terluka ketika mengendalikan produk makanan laut agar terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Jangkitan bakteria karnivor seperti Vibrio Vulnificus ini menyebabkan berlakunya necrotizing fasciitis, suatu penyakit di mana tisu mangsa mereput akibat toksin yang dirembeskan bakteria. Akibatnya, tisu terlibat akan melepuh, luka dan berbau.

Disebabkan bakteria ini boleh ‘memakan’ tisu dan organ dalam masa yang singkat, ia mampu menyebabkan kegagalan pelbagai organ yang bukan sahaja mengakibatkan sebahagian anggota pesakit dipotong, bahkan boleh membunuh satu daripada tiga mangsa jangkitan.

Bahkan, penyakit ini diklasifikasikan sebagai antara 10 penyakit paling teruk disebabkan kadar sembuh yang amat rendah serta kadar kematian yang tinggi dalam tempoh 24 jam jangkitan, termasuk di negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Sumber: QQ

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.