Siakap Keli
Gambar hiasan

Pasangan Suami Isteri Ditahan Disyaki Sebabkan Kematian Anak Kandung

SEPANG, 11 Nov (Bernama) — Sepasang suami isteri penjawat awam ditahan Isnin lalu selepas dipercayai melakukan penderaan hingga menyebabkan kematian anak kandung yang berusia empat bulan.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata pasangan itu yang  bertugas di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya, ditahan di perkarangan Hospital Serdang pada Isnin lepas setelah pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan hospital berkenaan pada 9.27 pagi, hari yang sama mengenai seorang bayi lelaki yang mati dengan beberapa kesan kecederaan.

Menurutnya, bayi itu dengan kesan luka pada bahagian dagu dan atas kening sebelah kanan, bengkak dan luka di kemaluan, serta lebam pada bahagian badan dan kesan parut pada kedua tangan dan kaki, dibawa oleh kedua ibu bapanya ke hospital itu pada 6.50 pagi dan disahkan meninggal dunia 7.20 pagi hari yang sama.

“Bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras dan lebih kurang 89 kesan lebam, lecur serta calar baru dan lama di seluruh anggota badan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pasangan suami isteri berumur 42 dan 37 tahun itu direman 14 hari sehingga 18 Nov.

Turut direman selama tujuh hari bermula 8 Nov lepas ialah seorang wanita berumur 33 tahun yang merupakan rakan sekerja ibu mangsa dan rakan serumah di Sungai Merab di sini, kata Abdul Aziz.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

Abdul Aziz berkata siasatan awal medapati masalah kemurungan menjadi antara punca pasangan tersebut bertindak sedemikian.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.