Siakap Keli

Betul Ke Sesiapa Yang Tak Namakan Anak Nama ‘Muhammad’ Dikira Jahil? Ini Penjelasan Mufti

Pemilihan nama amat penting kerana ia bakal digunakan dari buaian sehinggalah ke liang lahad. Nama yang baik ibarat doa buat pemiliknya, oleh itu kita perlu menamakan anak-anak dengan nama yang indah dan mempunyai maksud yang baik tidak kira dalam bahasa apapun ia.

Walaubagaimanapun, isu ini juga tidak terlepas daripada wujudnya kekeliruan sehingga wujud dakwaan “Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak dan dia tidak menamakan salah satu anaknya dengan nama Muhammad maka dia dianggap sebagai orang yang jahil.”

Benarkah dakwaan itu? Mari kita baca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan itu tersebut.

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin memohon penjelasan berkenaan hadis yang pernah disebutkan oleh seorang penceramah yang agak terkenal. Beliau menyebutkan hadis ‘sesiapa yang mempunyai tiga orang anak dan dia tidak menamakan salah satu anaknya dengan nama Muhammad maka dia dianggap sebagai orang yang jahil’. Adakah benar ada hadis sebegini?. Sebab nama anak-anak saya tiada yang bermula dengan nama Muhammad. Bagaimana ini ustaz?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, pastikan kesahihan hadith

Di antara prinsip yang paling utama apabila melibatkan hadis Nabi SAW adalah memastikan terlebih dahulu keabsahan hadis-hadis dan daripada mana sumbernya. Ini adalah sikap yang perlu ditanam di dalam jiwa setiap umat islam agar penisbahan sesuatu kata-kata tidak sewenang-wenangnya disandarkan kepada Nabi SAW.

Perkara ini adalah berdasarkan umum firman Allah SWT :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah Al-Hujurat : 6)

Gambar hiasan. (Kredit: WebMd)

Ada dalam kitab hadith

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan. Ya, hadis tersebut memang ada di dalam kitab hadis. Ianya dinukilkan oleh Al-Tabarani di dalam kitabnya Al-Mu’jam Al-Kabir. Selain dari Al-Tabarani, hadis ini juga dinukilkan oleh Ibnu ‘Adiyy di dalam kitabnya Al-Kamil Fi Al-Dhua’afa.

Al-Tabarani berkata :

حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بن عَلِيٍّ الْمَعْمَرِيُّ، قَالَ: ثنا عَلِيُّ بن مَيْمُونٍ الرَّقِّيُّ، ثنا عُثْمَانُ بن عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ عُمَرَ بن مُوسَى، عَنِ الْقَاسِمِ، عَنْ وَاثِلَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:مَنْ وُلِدَ لَهُ ثَلاثَةُ أَوْلادٍ لَمْ يُسَمِّ أَحَدَهُمْ مُحَمَّدًا فَقَدْ جَهِلَ

Maksudnya : “Al-Hasan Bin Ali Al-Ma’mari menceritakan kepada kami.Beliau berkata : Ali Bin Maimun Al-Raqqiy menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Uthman Bin Abdurrahman menceritakan kepada kami daripada Umar Bin Musa daripada Al-Qasim daripada Al-Wathilah.

Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak yang mana salah seorangnya dia tidak namakan dengan (nama) Muhammad sesungguhnya dia adalah orang yang jahil.”

Riwayat Al-Tabarani (17687) di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir

Ibnu ‘Adiyy pula meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang lain. Beliau berkata :

حَدَّثَنَا عُمَر بن الحسن بن نصر ، حَدَّثَنا مصعب بن سَعِيد ، حَدَّثَنا موسى بن أعين ، عن لَيث ، عَن مجاهد ، عنِ ابن عباس

Maksudnya : “Umar Bin Al-Hasan Bin Nasr menceritakan kepada kami. Mus’ab Bin Sa’id menceritakan kepada kami. Musa Bin ‘Ayun menceritakan kepada kami daripada Laith daripada Mujahid daripada Ibnu Abbas…”

Nukilan tak menjadikan sesuatu hadis diterima

Namun begitu, sekadar nukilan semata-mata tidak menjadikan hadis itu diterima. Ini kerana Ibnu Adiyy menghukumkan hadis ini sebagai hadis yang tafarrud. Beliau menyebut bahawa tiada yang meriwayatkan daripada Laith melainkan Musa Bin ‘Ayun. (Rujuk Al-Kamil Fi Ma’rifah Al-Dhu’afa Al-Muhaddithin Wa Ilal, 6/89).

Alangkah baik jika kita membahaskan satu persatu sanad yang dinukilkan oleh Ibnu Adiyy dan Al-Tabarani. Perkara ini sangat penting bagi menentukan status sesebuah hadis.

Gambar hiasan. (Kredit: Why Islam)

Sanad nukilan Ibnu Adiyy

1. Umar Bin Al-Hasan Bin Nasr Al-Halabi adalah seorang Qadi di Damsyik. Al-Daruqutni menyebut beliau sebagai seorang yang thiqah lagi benar (ثقة صدوق). (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 14/254). Ibnu Hibban meletakkan beliau sebagai salah seorang perawi yang thiqah. (Rujuk Tahzib Al-Tahzib, 9/363). Beliau wafat pada tahun 250 H.

2. Mus’ab Bin Sa’id gelarannya adalah Abu Khaithamah Al-Missisi. Ibnu ‘Adiyy menyebut bahawa beliau banyak meriwayatkan hadis daripada perawi yang thiqah dengan hadis-hadis yang munkar dan banyak melakukan perubahan pada hadis-hadis.(Al-Kamil Fi Ma’rifah Dhu’afa’ Al-Muhaddithin Wa Ilal, 8/89).

Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan bahawa kebanyakan yang diriwayatkan oleh Mus’ab adalah munkar dan bala. (Rujuk Lisan Al-Mizan,8/75).

3. Musa Bin ‘Ayun merupakan seorang perawi yang terdapat di dalam Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Al-Nasaie dan Sunan Ibnu Majah. Gelaran beliau ialah Abu Said Al-Harrani. Al-Jauzajani berkata bahawa Imam Ahmad banyak memuji beliau.

Abu Zur’ah dan Abu Hatim menyatakan bahawa beliau seorang perawi yang thiqah. Ibnu Hibban pula menggolongkan beliau di kalangan perawi yang terpercaya. Manakala Yahya Bin Ma’in menyebut beliau sebagai seorang yang thiqah lagi soleh peribadinya. (Rujuk Tahzib Al-Tahzib ,10/298). Beliau wafat pada tahun 75 H.

4. Laith. Nama sebenar beliau adalah Laith Bin Abi Sulaim.Beliau dipuji oleh sebahagian ulama hadis seperti Abdurrahman Bin Mahdi. Beliau (Ibnu Mahdi) menyebut bahawa Laith adalah perawi yang paling baik keadaannya.Ibnu Hatim Al-Razi juga memuji beliau.

Namun begitu sebahagian besar pakar hadis di zamannya mengkritik beliau. Di antaranya Yahya Bin Ma’in. Yahya menyebut bahawa beliau lebih lemah berbanding Yazid dan ‘Ata’. (Rujuk Tahzib Al-Tahzib, 8/418).

Laith bukan sahaja dikritik oleh Yahya, beliau juga dikritik hebat oleh Muhammad Bin Muthanna, Ali Bin Al-Madini dan lain-lain. Muammal Bin Al-Fadhl menyebut bahawa beliau pernah bertanya kepada Isa Bin Yunus tentang mengapa beliau tidak mendengar hadis daripada Laith.

Isa mengatakan bahawa Laith terkeliru di dalam meriwayatkan hadis. Bahkan Abu Zur’ah dan Abu Hatim menyebut bahawa Laith bukan sahaja perawi yang lemah namun beliau juga tidak boleh dijadikan hujah dan sandaran dalam periwayatan.

Imam Ahmad juga menyatakan bahawa beliau seorang yang berkeceramuk hadisnya (مضطرب الحديث). Ibnu Uyainah tidak pernah memuji ingatan Laith kerana banyak kekeliruan. (Rujuk Tahzib Al-Tahzib, 8/418 ; Al-Kamil Fi Ma’rifah Dhuafa Al-Muhaddithin Wa Ilal, 6/88) ; Al-Jarh Wa Al-Ta’dil Li Ibn Abi Hatim, 7/178).

Kesimpulan bagi sanad ini, kami lebih cenderung mengatakan bahawa sanad hadis ini lemah disebabkan oleh Laith Bin Abi Sulaim yang banyak dikritik oleh kebanyakan pakar hadis. Begitu juga di dalam sanad ini terdapat perawi yang bernama Mus’ab Bin Sa’id.

Gambar hiasan. (Kredit: Esplanade)

Sanad nukilan Al-Tabarani

1. Al-Hasan Bin Ali Al-Ma’mari merupakan seorang perawi yang thiqah. Al-Daruqutni memuji beliau dengan menyebut beliau adalah seorang seorang yang benar (صدوق) lagi hafiz. Namun begitu Al-Razi dan Ja’far Bin Junaid menggelarkan beliau sebagai penipu.

Akan tetapi, Abdullah Bin Uthman Bin Jiblah yang digelar Abdan menjawab bahawa kedua-dua orang tersebut hasad kepadanya kerana Al-Hasan banyak menulis hadis yang tidak ada pada mereka. (Rujuk Lisan Al-Mizan, 2/223)

2. Ali Bin Maimun Al-Raqqiyy. Kun-yah beliau ialah Abu Hasan Al-Attar. Banyak meriwayatkan hadis dari perawi-perawi yang thiqah. Abu Hatim menyebut bahawa beliau adalah seorang perawi yang thiqah. Begitu juga Al-Nasaie menyebut tidak mengapa meriwayatkan hadis daripada beliau. (Rujuk Tahzib Al-Kamal,21/153-154 ; Al-Jarh Wa Al-Ta’dil, 6/no1127 ).

3. Uthman Bin Abdurrahman menurut Al-Haithami adalah perawi yang thiqah namun beliau banyak meriwayatkan dari perawi yang lemah. (Rujuk Majma’ Al-Zawaid Wa Manba’ Al-Fawaid, 1/127). Munurut Yahya Bin Ma’in beliau adalah seorang yang benar (صدوق).

Imam Al-Zahabi menukilkan perkataan Abu ‘Arubah bahawa Uthman adalah seorang sheikh yang banyak beribadat. Tidak mengapa meriwayatkan hadis dari beliau. Namun beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis yang munkar dari orang-orang yang majhul. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 9/426).

Bahkan beliau dikritik hebat walaupun beliau seorang yang thiqah namun beliau digelar pengutip kayu api (حاطب الليل) kerana tidak meneliti apa yang diriwayatkannya (Rujuk Al-Kamil Fi Ma’rifah Al-Dhu’afa Al-Muhaddithin Wa ‘Ilal, no 585). Beliau wafat pada tahun 202 H.

4. Umar Bin Musa. Beliau digelar dengan gelaran Al-Wajihi. Beliau adalah perawi yang lemah. Ibnu Abi Hatim menyebut bahawa beliau adalah perawi yang sangat lemah, Banyak meriwayatkan hadis-hadis yang batil serta ditinggalkan periwayatannya (المتروك). (Rujuk Al-Jarh Wa Al-Ta’dil, 12/142).

Ibnu Adiyy pula menggolongkan beliau sebagai perawi yang tidak thiqah.(Al-Kamil Fi Ma’rifah Al-Dhu’afa Wa ‘Ilal, 3/8). Begitu juga Ibnu Jauzi mengatakan bahawa beliau matruk Al-Hadith (ditinggalkan periwayatannya). (Rujuk Al-Dhu’afa Wa Al-Matrukin, 1/82).

Gambar hiasan. (Kredit: Skilldeer.com)

5. Al-Qasim nama sebenar beliau adalah Al-Qasim Bin Abdurrahman Bin Abdullah Bin Mas’ud. Beliau merupakan cucu kepada sahabat Nabi SAW iaitu Ibnu Mas’ud. Kebanyakan pakar hadis menggolongkan beliau sebagai seorang yang thiqah. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 5/195).

Bagi sanad nukilan Al-Tabarani, kami cenderung untuk mengatakan bahawa sanad hadis ini sangat lemah disebabkan ada seorang perawi yang matruk iaitu Umar Bin Musa. Bukan itu sahaja, sanad ini juga terputus. Ia berpunca daripada Al-Qasim.

Walaupun beliau seorang yang thiqah namun beliau tidak pernah berjumpa dengan Wathilah. Di antara yang menjelaskan perkara ini ialah Ali Bin Al-Madini, seorang pakar di dalam kecacatan hadis. Ali Bin Al-Madini menyebut bahawa Al-Qasim tidak pernah berjumpa dengan para sahabat melainkan Jabir Bin Samurah. (Rujuk Al-Ilal Wa Ma’rifah Al-Rijal,1/106).

Bahkan amat susah untuk menguatkan hadis ini dengan riwayat-riwayat hadis yang sama.

Ini kerana kebanyakan sanad yang meriwayatkan hadis ini pastinya ada seorang perawi yang lemah ataupun yang dituduh dengan pendusta. Ini dijelaskan oleh Ibnu ‘Iraq di dalam kitabnya Tanzih Al-Syariah.

Beliau menyatakan bahawa setiap sanad riwayat hadis ini tidak bebas daripada seorang perawi yang dituduh dengan pendusta.(Rujuk Tanzih Al-Syariah Al-Marfu’ah ‘An Al-Syani’ah Al-Maudhu’ah, 1/82).

Bahkan ada riwayat lain daripada jalan Ja’far Bin Muhammad daripada ayahnya daripada datuknya. Sanad riwayat ini juga terlalu lemah kerana di dalamnya ada seorang perawi yang bernama Abdullah Bin Dahir Al-Razi. Beliau banyak dikritik oleh kebanyakan pakar. Di antaranya Al-Zahabi menyebut bahawa beliau adalah seorang pendusta.

Imam Al-Suyuti juga menyebut bahawa beliau adalah seorang yang dituduh menipu. (Rujuk Al-Laali Al-Masnu’ah Fi Ahadith Al-Maudhu’ah, 1/121).

Dari sudut matannya juga ada beberapa kecacatan yang boleh dipertikaikan.

Ini kerana kalaulah hadis ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW sudah pasti Umar menamakan anak-anaknya dengan nama Muhammad.

Namun kita melihat tidak ada seorang pun anak Umar yang bernama Muhammad. Adakah Umar seorang yang jahil?

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa hadis yang disebutkan adalah hadis yang sangat lemah. Bahkan hampir kepada palsu kerana setiap sanad riwayat hadis tersebut adanya perawi-perawi yang ditinggalkan dan juga ada yang dituduh menipu.

Oleh itu, sebarang penisbahan hadis tersebut kepada Nabi SAW adalah tidak dibenarkan.

Namun begitu, kami ingin menjelaskan juga bahawa tidak salah untuk menamakan mana-mana anak dengan nama Muhammad. Ia adalah satu cara untuk memperkenalkan peribadi Nabi kepada anak-anak.

Yang lebih penting adalah mengajarkan anak-anak kita tentang Nabi SAW dari sudut peribadi dan Sunnah Baginda SAW supaya ianya menjadi pedoman yang boleh diamalkan oleh anak-anak.

Ianya sekaligus dapat menanam kecintaan kepada Nabi SAW lebih-lebih lagi pada zaman yang mencabar ini di mana adanya penghinaan terhadap Nabi SAW. Wallahu’alam

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.