Siakap Keli
Kredit: NBC News/Info.cz

Ditendang Macam Tunggul Kayu, Peguam Ingatkan Jangan Jadi ‘Pak Sanggup’ Walau Untuk Keluarga Sendiri

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Urusan kewangan merupakan perkara yang memerlukan pertimbangan teliti terutamanya apabila ia melibatkan orang terdekat seperti rakan-rakan dan keluarga.

Silap haribulan, niat untuk berbuat baik menjadi titik perselisihan yang mengeruhkan hubungan dengan orang tersayang. Ya, kita digalakkan membantu orang lain, tapi dalam masa yang sama kita perlu melihat kemampuan sendiri agar tidak tersepit di kemudian hari.

Sebagai peguam yang banyak menguruskan perihal jual beli hartanah, Salkukhairi Abd Sukor mengingatkan orang ramai agar mengelakkan diri dari menjadi ‘pak sanggup’ dalam urusan berkenaan.

“Orang lain dapat madu, kita dapat hempedu,” katanya dalam satu kiriman di Facebook baru-baru ini. Tanpa membuang masa, jom kita baca pesanan beliau di bawah.

Elakkan jadi pak sanggup

Saya nak ingatkan sahabat-sahabat semua, elakkan lah diri daripada menjadi “pak sanggup” dalam urusan jual beli hartanah orang lain, walaupun melibatkan adik beradik atau saudara sendiri.

Apa yang saya maksudkan dengan jadi pak sanggup adalah, orang lain nak beli rumah, tapi disebabkan komitmen beliau tinggi atau disebabkan pinjaman beliau tak lepas, beliau minta tolong kita buat pinjaman sekali. Buat combine loan beli rumah sekali dengan beliau.

Kita pula disebabkan rasa kasihan atau termakan dengan pujuk rayu, serahkanlah diri untuk jadi pak sanggup.

Lebih malang lagi ada yang sanggup jadi peminjam bersama untuk bayar pinjaman bank sahaja. Sedangkan rumah yang dibeli tersebut nama orang tu seorang sahaja.

Kadang-kadang walaupun rumah nama berdua tapi yang duduk kat rumah tu dia seorang sahaja.

Ada yang siap buat untung lagi daripada rumah tersebut misalnya sewakan satu bilik kepada orang lain atau buat homestay. Kita ni dapat tengok aje lah.

Itu mungkin ok lagi. Masalah akan timbul apabila kita nak beli rumah kita sendiri kelak. Disebabkan kita pernah jadi pak sanggup sebelum ni, pinjaman kita untuk beli rumah sendiri pun sangkut.

Lebih malang lagi, apabila orang yang minta kita jadi pak sanggup tadi ada sangkut bayar ansuran bulanan dengan bank.

Silap haribulan dengan kita sekali bank saman. Bila kena saman dengan bank nama kita pun kena senarai hitam sekali.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Orang lain dapat madu, kita dapat hempedu. Orang lain bahagia kita yang merana.

Jadi nasihat saya, diri ni kena kental. Jangan cepat sangat kasihan dengan orang lain. Nak kasihan pun biarlah bertempat. Kasihan kan diri sendiri dahulu sebelum kasihankan orang lain.

Kalau gaji kita cukup cukup makan, janganlah mengada-ngada nak berhati luhur kononnya jadi pak sanggup kepada orang lain. Dia nak beli rumah, biar lah dia usaha sendiri.

Kalau diri sendiri belum ada rumah, usahakan lah untuk beli rumah atas nama sendiri dahulu. Jangan sibuk nak bantu orang lain beli rumah untuk diri mereka.

Orang ni biasalah, sebelum dapat memang baik punya pujuk rayu. Bila dah dapat, disepaknya kita macam tunggul kayu. Beringatlah..

Terima kasih,

Salkukhairi Abd Sukor
Pengerusi
Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)

Sumber: Peguam Netizen Speak

Amira

Love yourself.