Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pecah Amanah: Bekas Pembantu Tadbir Dipenjara Empat Tahun, 146 Sebatan

MELAKA, 13 Nov (Bernama) — Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem), dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan 146 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Hanafi Ismail, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah atas 146 pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, yang mengambil masa hampir dua jam.

Mohd Nasir menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan untuk setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, iaitu tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama empat tahun. Bagaimanapun hukuman sebatan ke atas tertuduh kekal satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Mohd Nasir menasihati tertuduh yang masih bujang itu agar bertaubat dan memulangkan kembali wang yang dicuri kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh menerusi peguamnya, Emirul Sarifudin Nor Azmi merayu hukuman ringan dan memberitahu dia telah insaf dan mengalami trauma serta mimpi ngeri akibat perbuatannya itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat, Nik Haslinie Hashim dan Nur Syakila Yaakob.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius membabitkan jumlah yang sangat tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hanafi yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri ini melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta terbabit apabila dengan menyalahgunakannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang di sini, antara 23 Jan 2017 dan 21 Dis tahun lepas, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda.

Mengikut fakta kes, Mohd Hanafi yang ketika itu bertugas sebagai kerani, lantikan kontrak perjawatan pembantu tadbir, menyalahgunakan harta dengan memasukkan peruntukan biasiswa pelajar ke dalam pelbagai akaun bank miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarga sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.