Siakap Keli
BERNAMA

(Video) Suspek Tolak Jenazah Ibu Dengan Kerusi Roda -Saksi

KUANTAN, 12 Nov (Bernama) — Lelaki yang menikam ibunya sehingga maut di Taman Kampung Padang di sini hari ini, didakwa sempat menolak jenazah wanita itu dengan menaiki kerusi roda di persekitaran taman perumahan itu sebelum ditangkap.

Penduduk mendakwa suspek berseluar hitam dan memakai baju kemeja-T berwarna ungu yang mempunyai kesan darah juga dilihat membawa pisau bersamanya selain sebuah telefon bimbit yang dikatakan mahu digunakan untuk menghubungi polis.

Seorang penduduk Samin Ahmad Mahboob, 53, yang mengusahakan kedai makan di situ sejak 2004 mendakwa telah menegur suspek apabila melihat keadaan wanita di kerusi roda itu agak mencurigakan seperti sudah tidak bernyawa.

“Suspek mendakwa dia mahu menghubungi polis kerana sudah membunuh emaknya, namun polis tidak mahu datang. Saya sempat mengikut suspek dan menutup jenazah mangsa dan menawarkan diri untuk bantu menghubungi ambulans.

“Saya minta suspek untuk tinggalkan jenazah ibunya di bawah pokok mempelam dan mencadangkan dia duduk berehat di kedai kopi berhampiran, namun suspek enggan sebelum saya lihat pisau di tangannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada kejadian sekitar 8.30 hingga 10.30 pagi tadi, Sefiah Hamid, 62, maut dipercayai akibat ditikam pada bahagian kiri leher oleh anaknya berusia 38 tahun di ruang tamu rumah mereka.

Mangsa yang difahamkan tidak boleh bergerak kerana pernah patah tulang belakang, dipercayai hanya tinggal berdua dengan suspek yang difahamkan mempunyai rekod rawatan psikiatri.

Seorang lagi penduduk Halim Otman, 52, mendakwa suspek tidak banyak bercakap sebaliknya hanya mundar-mandir di kawasan sama apabila ditegur beberapa penduduk yang sedang bersarapan di kedai berhampiran.

Halim yang sudah 20 tahun menetap di taman perumahan itu mendakwa tidak pernah mengenali suspek, namun biasa melihat mangsa yang diketahuinya memang berkerusi roda.

“Saya periksa wanita di kerusi roda dan ternampak kesan kelar di leher…saya mula syaki itu kes bunuh dan hubungi polis sebelum kami mula menjauhi suspek kerana melihat ada pisau, namun pisau itu bersih berbanding kerusi roda yang ada kesan darah.

“Semasa kami memerhatikan suspek dari jauh, adik perempuan suspek bersama rakan lelakinya lalu dengan menaiki motosikal melihat jenazah ibunya. Suspek meluru ke arah motosikal itu dan menikam mereka.

“Kami membuat keputusan untuk membantu mereka kerana bimbang keadaan menjadi lebih teruk lalu menerkam ke arah suspek dan berjaya menangkapnya selepas beberapa minit bergelut,” katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=0zTfOV93EZ0&feature=youtu.be

Sumber: BERNAMA, Eman Panji

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.