Siakap Keli
Kredit: Google

Didakwa Kurung Dalam Almari, Cubit Kemaluan Anak Angkat Hingga Berdarah, ‘Youtuber’ Meninggal Dunia Dalam Tahanan

Arizona, Amerika Syarikat – Seorang vlogger Youtube yang ditahan atas tuduhan penderaan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia pada Selasa lalu ketika dalam tahanan.

Menurut BuzzFeed News, Machelle Hobson, 48, menjana ribuan dolar dengan memuatnaik kandungan video tujuh orang anaknya di saluran “Fantastic Adventures” yang mempunyai lebih 800,000 pelanggan.

Dia didakwa mendera anaknya pada Mac lalu setelah mereka melaporkan kepada polis mengadu bahawa mereka dipukul, dikurung di dalam almari berhari-hari dan disembur lada oleh wanita itu.

Machelle ditahan pada 15 Mac dan muncul di mahkamah menggunakan kerusi roda pada 29 Mac berikutan kecederaan otak yang dialami ketika dalam tahanan, lapor media tempatan.

Dia kemudiannya dikatakan tidak mampu untuk menghadiri perbicaraan, namun pihak berkuasa tempatan percaya dia bakal sembuh dan akan dihukum atas tindakannya.

Anak-anak angkatnya didera jika tidak menghafal skrip lakonan. (Kredit: Jawa Pos)

“Saya percaya tempoh 15 bulan adalah cukup untuk dia sembuh serta dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan semula dan disabitkan kesalahan,” kata peguam Kent Volkmer.

Walaubagaimanapun, Machelle meninggal dunia di hospital pada Selasa lalu tanpa sebab yang dinyatakan.

Machelle bakal berhadapan tuduhan penderaan kanak-kanak, pencabulan, pengabaian dan pemenjaraan yang menyalahi undang-undang. Kes akan ditutup selepas pihak pendakwaraya menerima sijil kematiannya, lapor BuzzFeed News.

Koleksi video yang dimuatnaik setiap minggu ke laman Youtube miliknya telah mencatatkan jutaan tontonan, memaparkan lakonan berkonsepkan adiwira dan peperangan Nerf oleh anak-anak angkatnya yang berusia antara tiga hingga 15 tahun.

Hasil aduan oleh salah seorang anak suspek, pemeriksaan polis ke rumah Machelle mendapati anak-anak jagaannya kelihatan kurang nutrisi serta mempunyai lingkaran gelap bawah mata, lapor polis tempatan.

Mereka yang tidak lagi ke sekolah selama beberapa tahun itu memberitahu bahawa mereka dihukum jika gagal mengingati skrip untuk video saluran yang telah dipadam dari Youtube berkenaan.

Salah seorang kanak-kanak lelaki mendakwa pernah dipukul menggunakan tali pinggang dan penyangkut baju serta dicubit berkali-kali pada bahagian alat sulitnya sehingga berdarah.

Sementara itu, seorang mangsa lain turut disembur penyembur lada pada alat sulit, menyebabkan mangsa menderita kesakitan berhari-hari, dakwa kenyataan polis tempatan.

Sumber: BuzzFeed News

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.