Siakap Keli
Gambar: MAA

(Gambar) Enam Ekor Anjing Ditemui Mati Bergelimpangan Dipercayai Diracun Cetus Kemarahan Netizen

Rawang – Sebanyak enam ekor anjing ditemui mati bergelimpangan di Bandar Tasik Puteri Rawang, di sini pada hari ini dipercayai akibat diracun, kongsi Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) melalui laman Facebook badan berkenaan.

MAA mendakwa pengabaian tanggungjawab oleh pemilik anjing menyebabkan berlakunya salah faham masyarakat terhadap anjing jalanan, lantas menyebabkan berlakunya pembunuhan secara melulu.

“Pemilik anjing yang abaikan tanggungjawab kawal anjing juga faktor salah faham masyarakat terhadap anjing jalanan.

“Disebabkan 3 kes anjing berbaka yang berpemilik menyerang kanak-kanak hingga cedera, anjing jalanan menerima nasib buruk lalu dibunuh kerana dianggap bahaya dan memudaratkan.

“Ia berakhir dengan banyak siri pembunuhan anjing secara racun dan tembakan melulu. Ini tidak adil buat anjing jalanan hingga ada yang jadi mangsa pembunuhan,” lapor MAA.

Ekoran itu, tindakan pelaku turut mendapat kecaman daripada netizen yang bersimpati terhadap haiwan berkenaan.

“Kita pun menumpang atas muka bumi ni..”

“Sampai nampak lapisan perut dia. Allah.. manusia ke syaitan yang punya akal yang buat kerja ni.”

Hal ini turut menjadi perdebatan dalam kalangan netizen.

Urus melalui penempatan semula

“Pembunuhan anjing bukan kaedah berperikemanusiaan. Secara tidak langsung mendidik anak menjadi penzalim,” kata MAA.

Menurut laman berkenaan, tindakan meracun sendiri haiwan jalanan merupakan salah satu kesalahan Jenayah Kezaliman Haiwan.

Penduduk sepatutnya melaporkan sebarang masalah anjing jalanan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diselesaikan secara berperikemanusiaan.

“Langkah ini memandangkan kuasa, kekuatan, tenaga kerja bergaji, peruntukkan dan kemudahan fasiliti ada pada PBT. Apatahlagi negara memiliki Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan memiliki Lembaga Kebajikan Haiwan yang ditugaskan menjaga serta memantau kebajikan semua haiwan dalam negara ini,” ujar wakil badan berkenaan.

Jika anda mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, anda boleh salurkan maklumat kepada Animal Malaysia melalui Whatsapp kepada 011-20901097 secara rahsia.

Sementara itu, pemilik yang melepaskan anjing peliharaan sehingga membahayakan orang awam juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 33 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda ataupun penjara jika gagal membayar denda, kongsi laman berkenaan.

Sumber: Persatuan Haiwan Malaysia (MAA)

Amira

Love yourself.