Siakap Keli
Kredit: Google

Lepas Hentikan Jualan Rokok Dalam Penerbangan, Air Asia Cadang Henti Penjualan Alkohol Pula

Sepang – Setelah menghentikan penjualan rokok bebas cukai dalam pesawat dan laman web sejak 11 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes menyatakan hasrat untuk menghentikan penjualan arak pula.

Ketika pelancaran Kempen Anti Merokok dan Kesedaran Denggi AirAsia di ibu pejabatnya, RedQ tempoh hari, Fernandes berkata mereka turut bercadang untuk menghentikan jualan produk alkohol selepas melaksanakan kempen anti merokok dan vape secara menyeluruh di 120 pejabat dan stesen di seluruh Asia Pasifik.

“AirAsia juga bercadang untuk menghentikan jualan produk lain seperti alkohol. Namun ia akan menjadi agak sukar. Tetapi kita tidak akan tergesa-gesa dengannya. Tiada jangka waktu ditetapkan untuk itu,” ujarnya.

Menurut Fernandes, jualan tembakau memberi pendapatan sebanyak RM9 juta buat syarikat berkenaan setiap tahun.

Sementara itu, ibu pejabat AirAsia kini disenaraikan sebagai bangunan 100 peratus bebas rokok, tambahnya ketika sidang akhbar tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, AirAsia merupakan syarikat penerbangan pertama Malaysia yang mengamalkan polisi bebas penjualan produk tembakau dalam penerbangan.

Ekoran itu, Kementerian Kesihatan akan menganugerahkan sijil Anugerah Pencapaian Cemerlang Kempen Blue Ribbon kepada Fernandes sempena pengiktirafan Kempen Blue Ribbon pada 22 November ini.

Kata Dr Dzulkefly, seramai 23 peratus rakyat Malaysia merupakan perokok manakala sebanyak 20,000 kematian setiap tahun dilaporkan berpunca daripada penyakit berkaitan rokok.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.