Siakap Keli
Kredit: Google

Sumbat Cili Dalam Mulut Kanak-kanak Sehingga Maut Tercekik, Hukuman Penjara Terhadap Pengasuh Ditambah 10 Tahun

Putrajaya, 13 Nov – Baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara sejak Jun lepas atas tuduhan menyumbat cili hijau ke dalam mulut seorang kanak-kanak sehingga maut, seorang pengasuh dipenjara semula apabila Mahkamah Rayuan menambah hukuman penjara selama 10 tahun lagi terhadapnya.

Menurut Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim berkata, hukuman penjara 18 bulan sebelum ini ke atas responden Asmarani Ghazali adalah tidak mencukupi.

Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf dalam melakukan keputusan apabila meletakkan kepentingan responden melebihi kepentingan awam, kata Hakim Yaacob dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara.

Panel hakim yang turut terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P. Ravinthran itu mengarahkan Asmarani menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 21 Jun 2018.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim meminta mahkamah agar memberi hukuman berat ke atas Asmarani, 40 yang telah dibebaskan pada 21 Jun lalu setelah selesai menjalani hukuman penjara 18 bulan.

“Kanak-kanak hanya mahukan perhatian kerana dia tidak sihat pada pagi itu,” kata Mohd Zain yang menganggap tindakan wanita itu meletakkan cili ke dalam mulut Muhammad Afif Kamarol Azli, 2 tahun setengah hanya kerana mangsa merengek sebagai keterlaluan.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Afif adalah kerana tercekik.

Asmarani yang merupakan ibu kepada tiga anak yang pada awalnya didakwa atas tuduhan membunuh mengaku bersalah menganiaya kanak-kanak apabila ditawarkan pertuduhan alternatif bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam kejadian pada 13 Jun lepas (2 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri) di sebuah rumah di Taman Tuanku Ja’afar, Seremban, mangsa tidak berhenti merengek walaupun telah dipujuk Asmarani yang kemudian meminta mangsa membuang lampin pakai buangnya ke dalam tong sampah di dapur.

Mangsa telah melempar lampin berkenaan namun terus menangis kerana dia tidak sihat.

Asmarani kemudian mengambil dan mematahkan cili hijau dari peti sejuk menjadi separuh sebelum memasukkannya ke dalam mulut mangsa bagi menghentikan rengekannya.

Apabila mangsa mengalami kesukaran bernafas, Asmarani dan suami serta seorang daripada anaknya terus membawa mangsa ke dua klinik tetapi mereka dinasihatkan untuk menghantar mangsa ke hospital.

Sebelum ini, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh berkata, hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi adalah sesuai di samping menambah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan semua aspek termasuk kenyataan daripada ibu mangsa.

Menurut Bernama, Hanif telah menerima arahan anak guamnya (Asmarani) untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berikutan keputusan hari ini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.