Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

(Video) “Sweetness Overload”, Orang Utan Bela 3 Anak Harimau Curi Hati Netizen

Mustahil. Tak mungkin berlaku di rimba. Mungkin ini yang kebanyakan kita fikirkan tatkala melihat kemesraan antara seekor orang utan yang memelihara tiga ekor anak harimau.

Namun, adakalanya sesuatu perkara berlaku di luar logik akal kita. Dikenali sebagai haiwan yang pintar dan mempunyai 90 peratus persamaan dengan manusia, orang utan kadangkala bertindak seakan-akan mempunyai naluri yang sama.

Dalam video dikongsi oleh @Sha_ji1 di laman Twitter, seekor orang utan dilihat melayan anak-anak harimau bagaikan anak sendiri. Orang utan tersebut menyuap botol susu, membelai dan bermain mesra dengan harimau berkenaan.

Perkongsian tersebut telah mendapat lebih 7 juta tontonan dan 196.8 ribu tanda suka dari warga maya.

Sisi gelap

Walaubagaimanapun, interaksi haiwan berkenaan dikatakan mempunyai sisi gelap yang tersendiri.

Menurut laman One Green Planet, sebuah pusat konservasi yang terletak di Amerika Syarikat yang memelihara haiwan tersebut berlindung di sebalik nama mereka untuk mendapatkan keuntungan melalui tarikan pengunjung.

Orang ramai boleh melawati ‘pusat perlindungan’ berkenaan untuk berswafoto bersama anak harimau, berenang dengan gajah dan meluangkan masa dengan orang utan.

Namun, di sebalik kemesraan ini, One Green Planet mendakwa anak-anak harimau di sana menderita pelbagai masalah perkembangan yang serius termasuk buta.

Bagi memastikan anak haiwan itu kelihatan kecil dan comel untuk dibelai, pekerja di sana dikatakan mengawal ketat pemakanan haiwan tersebut dengan diet susu dalam tempoh yang lama, membuatkan mereka tidak mendapat nutrisi yang cukup.

Akibatnya, haiwan-haiwan tersebut mempunyai tulang dan otot yang tidak berkembang dengan baik di mana ia akan menjadi masalah apabila mereka dibebaskan ke dalam hutan kelak.

Selain itu, penyamaran oleh Humane Society of the United States turut mendapati haiwan-haiwan di pusat tersebut berisiko untuk dijual ke pasaran gelap atau ‘dibuang’ apabila terlalu besar dan tidak lagi sesuai untuk dijadikan ‘prop’ penggambaran.

Sumber: Sha_ji1, One Green Planet

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.