Siakap Keli
Foto: Bernama

“Ingatkan Biawak Kerumuni Bangkai Kerbau, Rupanya Mayat”

KUANTAN, 15 Nov (Bernama) – “Saya ingatkan biawak sedang makan bangkai kerbau, tapi rupa-rupanya mayat,” kata pesara Chan Ah Chai  yang menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di tanah miliknya hari ini.

Chan, 67, berkata beliau tiba di tanah seluas kira-kira 1.6 hektar miliknya di tepi Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman  di sini, sekitar 2 petang tadi, kerana mahu memeriksa keadaan sekeliling setelah hampir dua bulan tidak berkunjung ke situ.

Tanah itu dibeli kira-kira 15 tahun lepas dan tidak mempunyai penyewa sejak dua tahun lalu, selepas sebuah syarikat berkaitan perlombongan bauksit tidak melanjutkan sewaan bagi meletakkan simpanan stok di situ.

“Saya baru melepasi pagar masuk apabila melihat ada biawak di kawasan bersimen yang dibina pejabat kecil sebelum ini. Semakin saya menghampiri kawasan itu, biawak tersebut lari. 

Saya lihat mayat dalam keadaan tidak sempurna kerana tiada tangan kanan dan pergelangan tangan kiri ke bawah selain kepalanya hanya tinggal tengkorak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, rakan Chan, Yunus Mohd Yasin, 64, berkata tidak mencium bau busuk walaupun datang ke situ setiap hari untuk memberi makan ayam peliharaan di reban di luar pagar selain menyiram sayur-sayuran yang ditanamnya di situ.

Bagaimanapun, beliau yang mengusahakan kedai makan di sini, mendakwa ada melihat sebuah kereta Proton Wira berwarna putih yang di laluan masuk ke tanah bersebelahan sejak Ahad lalu, yang dipercayai milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Faez Mohd Jefri, 28, dari Lorong Pandan Makmur di sini, berdasarkan lesen memandu yang ditemukan dalam kereta tersebut.

“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di situ dan polis juga perlu memanggil kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mematikan arus elektrik yang masih ada di situ sebelum dapat mendekati mayat mangsa,” katanya. 

Mohamad Noor berkata pihaknya masih menyiasat mengapa mangsa berada di situ, namun siasatan awal mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)