Siakap Keli
Gambar: KL Expat Malaysia

Seramai 5,300 Penjawat Awam Melaka Terima Bonus RM1,000

MELAKA, 18 Nov (Bernama) — Kira-kira 5,300 penjawat awam di Melaka bakal menerima bonus RM1,000 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM5.3 juta yang akan dibayar bermula bulan hadapan, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Beliau berkata, pembayaran bonus berkenaan akan dibuat secara sekali gus dan peruntukan itu berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.

“Pemberian bonus bertujuan menyanjung tinggi sifat kesetiaan penjawat awam dalam mendokong kemajuan serta melaksana sistem penyampaian perkhidmatan dengan lebih cekap lagi berkesan kepada rakyat di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“Banyak dasar Kerajaan Negeri dapat kita laksanakan dan manifesto dapat kita tunaikan, ini sebenarnya hasil usaha dan sokongan yang diberikan penjawat awam di Melaka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan perkara berkenaan ketika membentangkan belanjawan negeri bertemakan ‘Memakmurkan Rumah Kita di Bawah Payung Rahmatan Lil Alamin’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Ketika ditanya mengenai laporan Bernama berhubung hutang awam Kerajaan Negeri turun RM3.6 juta tahun lepas yang memetik kenyataan Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Adly berkata penurunan itu disebabkan pelbagai faktor termasuk pelupusan aset bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2010.

“Lebih daripada RM200 juta hutang kita adalah kerana Sukma 2020 dan kita sedang berbincang dengan kerajaan sama ada boleh melupuskan keseluruhan atau sebahagian daripada tanggungan Sukma 2020 yang seluruhnya ditanggung Kerajaan Negeri,” katanya.

Bernama hari ini melaporkan Nik Azman menerusi kenyataan tentang Laporan Ketua Audit Negara sebagai berkata hutang awam Kerajaan Negeri tahun lepas adalah pada RM839.69 juta, menurun 0.4 peratus atau RM3.6 juta berbanding RM843.29 juta pada 2017.

Dalam pada itu, ketika membentangkan belanjawan itu Adly berkata Zakat Melaka menyasarkan peningkatan kutipan 10.11 peratus kepada RM104.6 juta pada tahun hadapan berbanding sasaran RM95 juta pada tahun ini, yang mana sehingga Oktober lepas, kutipan zakat ialah RM69.23 juta.

“Kutipan zakat ini akan diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin seramai 8,109 isi rumah dan memberi manfaat kepada 20,000 orang menerusi bantuan yang disalurkan dalam bentuk sara hidup bulanan dan ‘one-off,” katanya.

Bagi memastikan golongan asnaf, fakir dan miskin tidak terus dibelenggu kemiskinan dan mampu berdikari tanpa bantuan, Kerajaan Negeri menyediakan beberapa program keusahawanan untuk golongan itu.

Katanya, sehingga Oktober lepas, 94 usahawan asnaf telah dilatih dalam bidang perniagaan seperti kulinari, dandanan, perkhidmatan pembersihan dan kemahiran menjahit.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa