Siakap Keli
Gambar : Facebook

Amaran Angin Kencang : Orang Ramai Masih Ghairah Kutip Kerang

Marang : Amaran angin kencang dan ombak tinggi yang dijangka melanda pantai Terengganu selama lima hari bermula hari ini tidak sedikit pun menjejaskan aktiviti mengutip kerang bulu oleh orang ramai di Pantai Rhu Dua, di sini.

Malah tinjauan Bernama mendapati orang ramai masih datang membawa keluarga beserta anak kecil untuk mengutip kerang bulu yang terdampar di pantai tersebut sejak seminggu lalu meskipun cuaca agak gelap dan angin kuat.

Seorang pengunjung, Mohamad Zulkifli Mohd Rashid, 46, dari Kampung Kelulut di sini berkata sudah tiga hari berturut-turut beliau datang bersama keluarga untuk mengutip kerang bagi dijual kepada penduduk kampung meskipun cuaca hari ini agak gelap memandangkan hasil jualan kerang yang lumayan.

 “Petang semalam saya habiskan masa kira-kira empat jam di sini dan saya dah dapatlah dalam 15 kilogram. Saya jual dengan harga RM7 sekilogram kepada orang ramai dan jiran-jiran jadi dapatlah wang belanja dapur lebih kurang RM100.

“Tetapi hari ini nampaknya cuaca tidak berapa elok, ombak pun besar sedikit jadi hasil pun berkurangan,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Jusoh Ali, 57, dari Kampung Rhu Rendang berkata dia tidak mengetahui tentang amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia itu tetapi mengakui cuaca agak buruk dengan hujan lebat sejak malam tadi.

Bagaimanapun ia tidak menghalang orang ramai mencuba nasib mencari rezeki memandangkan kerang itu hanya timbul di situ apabila tiba musim tengkujuh.

“Memang agak bahaya berada di pantai pada musim ini, tetapi saya dan penduduk tempatan sudah terbiasa dengan keadaan laut serta gelombang di sini.

“Yang jadi bahaya ialah apabila orang luar yang tidak biasa datang ke sini bersama anak-anak kecil dan boleh pula mandi-manda tanpa menghiraukan keselamatan diri serta keluarga,” katanya yang telah dua kali menyelamatkan kanak-kanak yang hampir lemas ketika mencari kerang.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A.Rahman berkata sikap orang ramai sukar dikawal kerana terlalu ghairah untuk meraih sedikit keuntungan daripada jualan kerang.

Sehubungan itu katanya sebagai langkah keselamatan beliau telah mengarahkan anggotanya menjalankan rondaan dua kali sehari di lokasi tersebut untuk memantau keselamatan dan menasihati orang ramai agar menjaga diri masing-masing ketika berada di kawasan pantai.

“Selain APM saya dimaklumkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut turun padang memantau lokasi demi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.