Siakap Keli

Animasi Menyentuh Hati, Video Pendek Papar Realiti Rakyat Palestin ‘Terpenjara’ Di Gaza

‘Penjara terbesar’ di dunia, Gaza menempatkan 1.9  juta orang ‘tahanan’ di tanah air sendiri. Kisah penduduk di sana dizahirkan dalam satu animasi seorang pemuda yang mengimpikan kebebasan, namun terhalang dek tangan-tangan di keliling sempadan Gaza.

Video berkenaan dimulakan dengan babak seekor burung biru berterbangan di ruang udara dan mendarat di hadapan sebuah rumah kosong yang suram, menunjukkan realiti sebenar di Gaza selepas penduduknya dihalau dari penempatan sendiri.

Seorang pemuda yang berada di situ tersenyum melihat burung berkenaan serta mengejar haiwan yang sinonim dengan kebebasan dan kedamaian itu.

Namun, kegembiraannya terhenti apabila ada pihak yang melukis garisan sempadan mengelilingi kawasan tersebut.

Lelaki itu cuba melintasi garisan berkenaan, namun ditahan tangan besar yang menyekat pergerakannya di sepanjang sempadan tersebut.

Kecewa dan marah, dia kembali ke runtuhan bangunan sebelum didatangi burung biru yang seolah-olah menawarkan harapan buatnya.

Dia kemudian mengekori burung berkenaan yang terbang ke arah laut serta menghinggapi sebuah objek di lautan.

Tidak berputus asa, lelaki itu mendayung sampan menuju ke tengah lautan untuk mendekati burung berkenaan, namun muncul tangan yang memerintahkannya untuk kembali ke daratan.

Berkeras dan enggan tunduk pada perintah itu, lelaki berkenaan terus mendayung sehinggalah pusaran air yang disebabkan tangan tadi membuatkan dia tercampak kembali ke daratan yang sama.

Lelaki itu sekali lagi melihat harapan di pintu masuk Rafah, satu-satunya laluan yang menghubungkan Palestin dan Mesir, namun dia dihalang tangan yang memakai lengan baju berwarna merah, putih dan hitam.

Pemuda yang kelihatan sedih itu kembali ke ‘ruang tahanan’ yang dibom dan dibedil merata-rata, memaksanya melarikan diri namun dihalang tangan-tangan di sekeliling penjara berkenaan (Gaza).

Animasi berkenaan berakhir dengan burung biru terbang meninggalkan tanah itu serta dikurung di dalam sangkar, menjadi simbolik terkurungnya kebebasan buat Gaza.

Amerika iktiraf penempatan Israel

Krisis antara Palestin dengan penduduk Israel semakin menjadi keruh. Terbaru, Setiausaha Agung Amerika Syarikat, Mike Pompeo berkata penempatan Israel di Tebing Barat tidak melanggar undang-undang antarabangsa sepertimana yang dipersetujui kebanyakan negara sebelum ini.

“Setelah meneliti setiap sudut perundangan, Amerika Syarikat membuat kesimpulan bahawa “penempatan warga Israel di Tebing Barat adalah secara per se tidak menentang undang-undang antarabangsa”,” katanya seperti dilaporkan BBC.

“Menyifatkan penempatan rakyat sebagai tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa tidak membantu ke arah kedamaian,” tambahnya.

Terpulang kepada warga Palestin dan Israel untuk berbincang status Tebing Barat, katanya seperti dilaporkan BBC.

Penempatan Yahudi bermula sejak 1967 ketika peperangan Timur Tengah menjadi krisis antara Israel dengan komuniti global dan warga Palestin.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin lalu menegaskan pendirian bahawa penempatan Israel di Palestin adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, lapor Bernama.

“Pendirian Kesatuan Eropah berhubung dasar petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah jelas dan kekal tidak berubah; semua aktiviti petempatan adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan menghakis kebolehjayaan penyelesaian dua negara serta prospek bagi keamanan yang berkekalan, seperti yang ditegaskan oleh Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR),” kata ketua dasar luar EU Federica Mogherini dalam satu kenyataan.

EU yang menyokong penyelesaian dua negara sebagai “satu-satunya cara yang realistik dan berdaya maju bagi memenuhi aspirasi sah kedua-dua pihak” mendesak Israel agar menghentikan semua aktiviti penempatan di wilayah terlibat.

Sehingga kini, kira-kira 650,000 warga Israel tinggal di lebih 100 petempatan sejak 1967 ketika mereka menetap di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Hal ini menyebabkan rakyat Palestin dan kebanyakan masyarakat global tidak bersetuju dengan tindakan Israel.

Mengikut undang-undang antarabangsa, semua aktiviti penempatan Yahudi di Tebing Barat dan BaitulMaqdis Timur adalah tidak sah.

Sumber: BBC, Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.