Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Bayi Tujuh Bulan Lebam Di Pipi Dipercayai Didera

Balik Pulau : Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan lebam di bahagian kanan muka dipercayai didera pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain berkata kesan lebam itu disedari ibu bayi tersebut selepas mengambil anaknya di taska pukul 5.30 petang semalam.

“Ibu bayi itu membawa anaknya ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk pemeriksaan dan laporan polis dibuat oleh bapa bayi berkenaan. Bayi itu kini dirawat di HBP bagi mengesan punca sebenar lebam di pipinya. Laporan awal doktor mendapati ada kesan lebam tapi tidak berlaku pendarahan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata bayi itu dikatakan dihantar ke taska tersebut sejak awal bulan ini namun tidak pernah terdapat sebarang kesan lebam atau luka di badan bayi berkenaan sebelum ini.

Jafri berkata hasil pemeriksaan polis di premis taska itu mendapati ia tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan daripada lima guru serta kakitangan taska itu.

Menurutnya, polis juga merekodkan keterangan kanak-kanak yang berada di taska itu bagi membantu siasatan dan pihaknya turut melihat kemungkinan sama ada kesan lebam itu disebabkan pergaduhan antara kanak-kanak di situ.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.