Siakap Keli
Gambar: Bernama

Exco Perak Berdepan Dakwaan Rogol Boleh Teruskan Tugas

IPOH, 19 Nov (Bernama) — Exco Perak Paul Yong Choo Kiong yang sedang berdepan perbicaraan atas dakwaan merogol pembantu rumahnya  warga Indonesia, dibenarkan untuk meneruskan tugas sehingga  Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung permohonan kes perbicaraannya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar negeri, Yong telah memaklumkan hasratnya untuk kembali menjalankan tugasan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, di atas prinsip, beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah.

“Yang Berhormat (YB) Yong yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan telah memfailkan permohonan pada 13 November 2019 supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung permohonannya, YB Paul Yong mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Negeri yang sedang berlangsung dan juga menjawab soalan-soalan berkaitan dengan portfolio Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal-Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru yang dipegang oleh beliau,” menurut kenyataan itu.

Pada 23 Ogos lepas, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya berumur 23 tahun di kediamannya di Meru dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pada 13 Nov lepas, Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong telah memfailkan notis usul untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.