Siakap Keli
Gambar: BERITAmediacorp

Masjid Singapura Buka ‘Pintu’, Benarkan Gelandangan Tak Kira Agama Tumpang Berteduh Setiap Malam

Masjid Sultan yang terletak di Singapura bakal menyediakan ruang khas untuk dimanfaatkan oleh golongan gelandangan bagi digunakan untuk berehat serta tumpang berteduh pada waktu malam.

Perkara itu sekali gus menjadikan Masjid tersebut sebagai masjid yang pertama di Singapura menawarkan khidmat dan kemudahan yang sedemikian.

Menurut BERITAmediacorp, waktu untuk gelandangan menggunakan bilik khas bagi berteduh itu adalah di antara jam 10 malam hingga 7 pagi.

“Selain daripada tempat beribadah untuk umat Islam, pihak masjid juga merasa bertanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan,” ujar Pegawai Pembangunan Sosial Masjid Sultan, Encik Muhammad Aizuddin Jamaludin.

Kawasan masjid yang dikhaskan

Gambar: BERITAmediacorp

Ruang atau bilik yang disediakan terletak di sebuah Bangunan berlainan dalam kawasan masjid tersebut. Ruang tersebut adalah sebuah bilik dalam dewan serbaguna yang terletak di bahagian bawah bangunan tambahan itu.

“Isu gelandangan yang kian meruncing di Singapura telah menggerakkan rasa tanggungjawab pihak masjid bagi menyediakan tempat berteduh yang selamat serta selesa buat golongan gelandangan ini,” ujar Encik Muhammad Aizuddin.

“Mereka cuma perlu berjumpa dengan pengawal keselamatan untuk mendaftarkan diri sahaja sebelum terus dibawa ke ruang berkenaan.”

Keselamatan masjid

Pihak masjid memberi jaminan bahawa keselamatan masjid tersebut akan terjaga. Ini kerana, golongan gelandangan ini hanya akan memasuki ruang tersebut dengan menggunakan pintu yang telah dikhaskan.

Golongan yang layak

Gambar: BERITAmediacorp

Sungguhpun begitu, buat masa ini pihak masjid hanya akan menerima gelandangan lelaki tempatan sahaja. Ianya kerana, ruangan untuk kaum wanita masih belum boleh disediakan kerana ruang yang terdapat pada masjid itu terbatas.

Yang lebih menariknya lagi, tidak kira kaum mahupun agama, semua golongan gelandangan lelaki warga tempatan akan diterima untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Sumber: BERITAmediacorp

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.