Siakap Keli

Misteri Bau Busuk Terjawab Dengan Penemuan Mayat Warga Emas

KUALA TERENGGANU, 19 Nov: Misteri bau busuk di sebuah rumah di Kampung Bukit Besar, di sini sejak semalam akhirnya terbongkar dengan penemuan mayat seorang wanita warga emas hari ini.

Mayat Jarah @ Aminah Awang, 75, ditemui dalam keadaan terbaring atas katil oleh pihak polis yang bertindak membuka tingkap rumah itu kira-kira pukul 7.00 pagi tadi dan wanita berkenaan dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas.

Anak saudara warga emas itu, Suraya Ismail, 35, yang tinggal di rumah sebelah berkata pada mulanya beliau menyangka bau busuk itu adalah bangkai kucing, namun apabila baunya semakin kuat, barulah beliau teringatkan ibu saudaranya itu.

“Saya kemudiannya menghubungi anak-anak mak cik yang tinggal di Bukit Payung, Marang untuk bertanya keberadaan mak cik sebelum salah seorang anaknya menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya kali terakhir beliau melihat ibu saudaranya itu adalah pada Khamis lepas dan menyangka warga emas itu tiada di rumah sejak lima hari lepas kerana keadaan rumah yang berkunci.

Suraya berkata ibu saudaranya yang tinggal bersendirian itu dilihat dalam keadaan sihat sebelum ini, walaupun mempunyai kencing manis dan darah tinggi serta kerap rebah ketika di rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story