Siakap Keli

Kolaborasi Pertama MYDIN Dan Ejen Ali Sempurnakan Persiapan Persekolahan 2020

Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) bersama Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) dan WAU Animation buat pertama kalinya berganding bahu memeriahkan persiapan kembali ke sekolah dengan melancarkan kempen ‘Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah Di MYDIN’.

Kempen yang akan berlangsung selama dua bulan ini akan bermula pada 1 Disember 2019 dan berakhir pada 31 Januari 2020. Majlis pelancaran kempen ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan.

MYDIN, syarikat pemborong dan peruncit tempatan memilih Primeworks Studios, syarikat gergasi media sebagai rakan kongsi bagi mempergiatkan lagi kempen yang diadakan buat julung kalinya di seluruh Malaysia.

Melalui kempen dan kolaborasi ini, pelbagai koleksi eksklusif lengkap persekolahan ditawarkan khas untuk orang ramai.

Kerjasama yang turut mendapat sokongan eksklusif Carrie BacBuster ini dijangka dapat menarik perhatian kanak-kanak yang bakal melangkah ke alam persekolahan pada tahun 2020.

Apa yang membuatkan kempen kali ini lebih istimewa ialah orang ramai berpeluang memiliki koleksi dari karakter filem Ejen Ali yang hanya boleh didapati secara eksklusif di cawangan MYDIN di seluruh negara.

Dengan setiap pembelian berjumlah RM50 ke atas, pembeli boleh mendapatkan satu kad figura karakter Ejen Ali secara percuma.

Pembeli boleh mengumpul kesemua enam koleksi kad karakter Ejen Ali dan berpeluang membeli sebuah kotak set permulaan Ejen. Selain itu pelanggan yang membeli barangan dari 20 jenama terlibat, Ambi Pur, Dynamo, PetPet, Carrie BacBuster, Abaro, Antabax, Energizer, Indomie, Julie’s, Keyroad, Kimberly-Clark, Kopiko, LifeBuoy, Orang Kampung, Origina, Pallas, Pran, Promex, Vitagen dan Matarazo akan mendapat satu ekstra kad figura karakter Ejen Ali.

Menurut Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, MYDIN sentiasa komited menyediakan kelengkapan persekolahan dengan harga yang kompetitif dan berbaloi. MYDIN yang memiliki 72 cawangan seluruh negara melihat kerjasama ini sebagai salah satu komitmen mengangkat hasil karya tempatan ke taraf antarabangsa.

“Pelbagai kelengkapan persekolahan koleksi Ejen Ali ditawarkan seperti set uniform lengkap sekolah, stoking, bekas makanan, botol air, alat tulis serta 5 t-shirt eksklusif Ejen Ali dan sebagainya. Selain itu, kami turut membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki koleksi ini melalui dana tabung MYDIN Prihatin,” katanya.

Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios pula berkata, kempen ini merupakan platform terbaik untuk Primeworks Studios memperluaskan jenama Ejen Ali kepada kanak-kanak. Penghasilan animasi popular dengan kerjasama WAU Animation ini telah menjadikan karakter Ejen Ali sebagai ‘rolemodel’ yang positif kepada orang ramai.

“Kami yakin filem EJEN ALI THE MOVIE akan menjadi penanda aras kepada kejayaan filem animasi negara pada tahun ini setanding dengan jenama animasi dari luar negara. Dengan promosi yang meluas bersama pihak MYDIN, kami percaya kesan kolaborasi ini dapat memberi satu pengalaman membeli-belah yang inovatif sejajar dengan aktiviti promosi yang pelbagai di MYDIN,” katanya.

Sempena kempen kembali ke sekolah ini, MYDIN turut menggerakkan tabung MYDIN Prihatin untuk program tanggungjawab sosial korporat yang telah dilancarkan pada perayaan Deepavali lepas.

Kutipan jualan produk sebanyak 5 sen hingga 20 sen dari jenama produk Alagappa’s, Ameera, Julie’s, Lady’s Choice, Antabax, Pran, Ceygold, Trichy serta Vinda akan disumbangkan kepada 250 kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari 10 sekolah terpilih. Setiap jumlah belian produk terpilih yang disalurkan ke Tabung MYDIN Prihatin akan dikumpulkan dan jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan dari koleksi eksklusif Ejen Ali.

Antara aktiviti yang dirangka sepanjang kempen kembali ke sekolah ini adalah program Jelajah Misi Ejen Ali yang bakal berlangsung di MYDIN Seremban 2, MYDIN Parit Buntar, Perak dan MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Aktiviti jelajah ini bakal dimeriahkan lagi dengan kemunculan maskot karakter utama filem EJEN ALI THE MOVIE iaitu Ejen Ali dan Ejen Alicia di 20 cawangan terpilih MYDIN.

Selain dari itu, aktiviti-aktiviti yang dijangka bakal menambah tarikan kepada kempen ini adalah seperti pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen, ‘slime making’, kuiz Ejen Ali. Peraduan Snap & Win juga akan turut diadakan dan pelanggan berpeluang memenangi Baucar Tunai MYDIN bernilai RM100.00 secara percuma.

MYDIN turut memperkenalkan menu istimewa iaitu Nasi Lemak Tempoyak Udang di MYDIN Ready To Eat (RTE) yang merupakan segmen makanan dan minuman sedia dimakan.

Resepi istimewa yang hanya terhad pada kempen kembali ke sekolah ini akan dijual di cawangan Pasar Raya Besar MYDIN di seluruh negara pada harga RM3.99. Pelanggan boleh menikmati dan merasai sendiri makanan yang cukup sinonim dengan karakter Ejen Ali.

Bagi menghangatkan lagi kempen ini, MYDIN turut menjalinkan kerjasama strategik bersama CJWOW, syarikat yang mempunyai posisi yang kukuh dalam pasaran e- dagang di negara ini dengan menawarkan pakej pembelian eksklusif melalui rancangan CJWOW Shop.

Penonton berpeluang mendapatkan pakej menarik dengan pelbagai tawaran serta hadiah percuma. Tawaran ini adalah terhad hanya pada siaran 13 Disember 2019 (Jumaat) sahaja. Menerusi tawaran istimewa ini, penonton dapat membeli 2 set baju sekolah dengan harga serendah RM99.

Antara hadiah percuma yang bakal diperolehi oleh penonton adalah t-shirt eksklusif Ejen Ali keluaran MYDIN, bekas botol minuman (700 ml), poster filem dan fail ‘EJEN ALI THE MOVIE’.

Jangan lupa untuk menyokong filem animasi tempatan. Jom Kembali ke sekolah bersama MYDIN dan EjenAli!

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra