Universiti Al-Azhar adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan.
Ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti Al Qarawiyin.
Universiti Al-Azhar, Cairo secara rasminya menjadikan Bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua di kampus mereka.
Perasmian yang dirasmikan melalui Fakulti Bahasa dan Terjemah Universiti Al-Azhar pada awal Oktober lalu iaitu 7 Oktober 2019 adalah kerana bahasa Indonesia banyak digunakan di Asia Tenggara yang majoritinya beragama Islam.
Menurut Duta Besar Indonesia di Mesir, Helmy Fauzy, di Asia Tenggara ramai golongan ulama dan pemikir Islam lahir namun karya hasil tulisan mereka masih banyak yang tidak diketahui oleh pemikir Arab.
Rektor Universiti Al-Azhar, Mohammed Husein al-Mahrashawi memberitahu bahawa pengiktirafan Bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua membolehkan pihak universiti membuka Program Pengajian Indonesia di sana.
Menurut beliau lagi, pihaknya sedang mempersiapkan tenaga pengajar untuk mengajar Program Pengajian Indonesia tersebut.
Mahasiswa yang memilih bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua boleh mengikut pengajian di Indonesia selama dua tahun agar dapat menguasai bahasa itu daripada sumber asalnya.
Berkaitan dengan isu ini, ada juga sesetengah netizen memberi reaksi bahawa mengapa pihak mereka tidak menggunakan perkataan atau istilah bahasa ‘nusantara’ daripada secara spesifiknya menyatakan penggunaan wilayah sedangkan asas kepada Bahasa Indonesia adalah Bahasa Melayu yang turut ditutur di seluruh gugusan kepulauan Melayu atau Nusantara.
Sumber : Tribun News