Siakap Keli
Gambar: Bernama

Johor Umum Bantuan Khas Kewangan Sebulan Gaji Buat Penjawat Awam Negeri

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) — Kerajaan Johor mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan berjumlah sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada 13,400 penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata bantuan melibatkan peruntukan kewangan berjumlah RM34.78 juta itu akan dibayar dua kali iaitu sebelum akhir tahun ini dan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa pembangunan Johor tidak akan dicapai sepertimana yang kita nikmati hari ini tanpa komitmen, dedikasi dan pengorbanan dalam kalangan penjawat awam negeri.

“Justeru, bagi menghargai jasa penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan kewangan khas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata bantuan khas kewangan tersebut turut diberikan kepada kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri, selain semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Speaker Dewan Negeri Johor, Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, Ahli Dewan Negeri Johor dan Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor.

Beliau berkata turut menikmati bantuan terbabit adalah Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru-guru Tadika Islam Johor (TAJ).

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata seramai 2,090 guru KAFA juga akan menerima elaun penuh sebanyak RM1,412 sebulan mulai Jan depan dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.67 juta.

Beliau berkata sebagai inisiatif mengukuhkan institusi kekeluargaan, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPDKT) memperuntukkan RM800,000 untuk membina dan membaik pulih taska di bangunan Kuarters Kerajaan Jalan Tajul, Kota Tinggi serta Taska YPDKT di Wisma Persekutuan, Johor Bahru.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa