Siakap Keli
Gambar : Bernama

Raja Arak Tiruan Dari Malaysia Ditahan Di Bangkok

Bangkok : Seorang rakyat Malaysia yang dinamakan sebagai ‘David, raja arak tiruan’, telah ditahan di Bangkok pada Isnin, atas kesalahan menghasilkan arak tiruan.

Ketua Polis Pelancongan Thailand Pol Lt Jen Chettha Komolwattana berkata, rakyat Malaysia berusia 63 tahun itu, ditahan di tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah di Daerah Bang Kapi, pada jam 2.30 petang (waktu tempatan) pada Isnin.

Katanya, lelaki itu didakwa menghasilkan arak tiruan, memalsukan label dan tinggal lebih tempoh dibenarkan di negara itu.

”Polis juga menemui peralatan untuk menghasilkan arak tiruan termasuk botol, gabus, penutup, pelekat dan label pelbagai jenama arak, selain setem duti cukai palsu di dalam kenderaan suspek.

”Polis menahan lelaki itu ketika beliau sedang membuat penghantaran wiski kepada seorang pelanggan di pusat membeli belah pada Isnin petang. Beliau juga cuba untuk melarikan diri, tetapi berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gettha berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan perkhidmatan Grab untuk menghantar produknya.

Katanya, pada 14 Nov, Polis Pelancongan menemui bungkusan yang mengandungi peralatan menghasilkan arak, botol, label dan pelekat minuman arak dihantar ke Lapangan Terbang Suvannabhumi dan rakyat Malaysia itu merupakan penerimanya.

Katanya, penemuan itu membawa kepada penangkapan pada Isnin petang, ketika suspek sedang dalam perjalanan menghantar arak tiruan.

Suspek mengakui yang beliau telah menghasilkan arak tiruan sejak lebih 30 tahun.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.