Siakap Keli
Kredit Foto: foxsportsasia, instagram @safawirasid29

Ibu Tak Lupa Buat Solat Hajat Setiap Malam Doakan Kejayaan, Rahsia Safawi Rasid Selalu Di ‘Puncak’

Hampir setiap malam menunaikan solat sunat tahajud, taubat, hajat dan witir bagi memohon kejayaan dan keberkatan buat kesemua anaknya telah menjadi rutin dalam kehidupan ibu kepada  pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid.

Ibunya, Selemah Abu Bakar, 56, turut menggandakan amalan tambahan seperti  zikir dan berdoa kepada Allah semoga segala urusan anaknya dipermudahkan sekiranya Safawi mempunyai perlawanan.

Malah ibunya akan menambahkan bilangan rakaat dalam setiap solat sunatnya supaya ALLAH berikan dia kemenangan dan kesihatan yang baik untuk bermain.

Mengulas mengenai kejayaan yang diraikan Safawi dan pasukannya ketika menentang Indonesia dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil beberapa hari yang lalu, ibunya berasa bangga dan syukur atas kejayaan tersebut.

Ibunya turut berharap anaknya itu akan terus memperoleh kejayaan dalam bidang yang diceburinya ini.

Safawi juga dikatakan anak yang baik dan tidak pernah lokek membantu keluarga serta saudaranya yang memerlukan.

Menurut bapanya, Rasid Sulong, 65, menyatakan Safawi akan menghubungi dia dan isterinya untuk memohon restu daripada mereka berdua sebelum berlangsungnya perlawanan. Amalan itu telah diamalkan Safawi sejak dari bangku sekolah lagi.

Bapanya juga sering berpesan supaya menjaga solatnya kerana semenjak kecil lagi beliau telah menerapkan amalan tersebut kepada setiap anaknya.

Sumber: Sinar Harian 

Siti Natrah Jusof

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.