Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerajaan Kedah Gesa Pengusaha Tanaman Ketum Tanam Tanaman Lain

KUBANG PASU, 22 Nov  (Bernama) — Pengusaha tanaman ketum di negeri ini digesa untuk beralih kepada tanaman komersial lain yang tidak menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada iaitu Kanun Tanah Negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata walaupun beberapa kajian yang dibuat bersama agensi terbabit mendapati hasil  tanaman lain tidak sebanyak tanaman ketum, namun tanaman lain itu lebih selamat dan ‘halal’ diusahakan.

Sehubungan itu, Jabatan Pertanian negeri sentiasa bersedia membantu pengusaha dari segi  khidmat nasihat dan jenis tanaman yang ingin mereka usahakan sekiranya mahu beralih kepada tanaman lain sebagai gantian.

“Kita ada bincang bersama dengan Jabatan Pertanian apakah agaknya tanaman gantian lain kepada penanam ketum ini. Dalam kajian memang kita lihat melihat hasilnya tak sebanyak tanaman ketum, tapi sekurang-kurangnya tanaman lain itu dibuat secara ‘halal’ dan tak melanggar undang-undang.

Mereka tahu industri ketum tu masih di bawah Akta Racun 1952 dan bukan Akta Dadah Berbahaya  1952, tetapi di bawah Kanun Tanah, syarat pertanian mestilah tanaman yang mempunyai nilai komersial seperti kelapa sawit, padi, getah dan tanaman lain.

“Ketum ini dah memang jelas melanggari peraturan dan ambillah inisiatif sendiri menukarkannya ,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Bersama Tok Mudim melibatkan lebih 40 peserta di sini hari ini.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan pengusaha ketum yang mahukan jaminan daripada kerajaan sekiranya memusnahkan tanaman itu dan menggantikan tanaman lain kelak.

Rabu lepas, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengadakan dialog bersama 60 pengusaha ketum dari Kedah dan Perlis di Pusat GiatMara Jerlun dekat sini berhubung tanaman itu.

Bagaimanapun, rata-rata pengusaha mahukan jaminan daripada kerajaan supaya tanaman baharu yang dicadangkan kerajaan mendapat pulangan setimpal seperti tanaman ketum.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mengambil masa yang lama untuk membaik pulih runtuhan tanah di Jalan Sungai Ular di Kilometer 12 Jalan Kulim-Bandar Baharu yang runtuh baru-baru ini.

“Saya faham biasanya kejadian seperti ini kena buat kajian sedikit bagi memastikan struktur tanah itu masih berada di tahap baik atau sebaliknya kerana kita tidak mahu ia berulang lagi dan kita jadikan ianya sebagai agenda utama kerajaan negeri untuk diberi perhatian,” katanya langkah itu selaras dengan pendekatan kerajaan ketika ini yang mahu memastikan keperluan rakyat diutamakan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.