Siakap Keli
Gambar Hiasan

Menara Alor Setar Bakal Ada ‘Bilik Kaca’

ALOR SETAR, 22 Nov (Bernama) – Menara Alor Setar bakal mendapat nilai tambah apabila kerajaan negeri berhasrat untuk membina ‘bilik kaca’ seperti yang terdapat di Menara Kuala Lumpur, bagi membolehkan pengunjungnya menikmati pemandangan bandar raya ini dari udara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya dan Pembangunan Usahawan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris berkata perbincangan telah diadakan dengan pihak Menara Kuala Lumpur dan persetujuan sudah dicapai berhubung pembinaan pelantar terbuka di mercu tanda bandar raya Alor Setar itu.

“Kita jangka akan dapat memulakan pembinaan bilik kaca itu secepat mungkin dan jika tiada sebarang masalah, ia dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan.

“Tarikan baharu itu akan memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung dan pembinaannya bersesuaian sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, yang mana kita berhasrat untuk menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara dan Kedah khususnya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata perincian mengenai pembinaan bilik kaca berkenaan masih belum dimuktamadkan, namun berharap peruntukan dapat disalurkan bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan segera.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul berkata di samping menawarkan produk yang berunsur moden, fokus kerajaan negeri masih bertumpu kepada pelancongan berkonsep warisan yang merupakan antara kekuatan utama sektor pelancongan di Kedah terutama di tanah besar.

“Semua orang tahu Langkawi yang terdiri daripada 99 pulau yang indah sangat terkenal sebagai destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, namun di tanah besar juga tidak kurang hebatnya terutama berkaitan dengan warisan.

Kita ada Pekan Rabu, Masjid Zahir, Balai Besar, Balai Nobat dan yang paling menarik Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir di Lorong Kilang Ais di Alor Setar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga dalam usaha untuk memastikan lokasi-lokasi pelancongan berkenaan diurus tadbir dengan baik agar dapat memberi kepuasan dan keselesaan kepada pengunjung.

Sebelum ini, ada pihak-pihak termasuk swasta yang dilantik untuk menyelenggara lokasi-lokasi pelancongan di negeri ini, tapi ada yang tidak menjalankan tugas dengan baik, kita akan tukar dan pastikan mereka yang dilantik melakukan penyelenggaraan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menyasarkan kedatangan kira-kira 6 juta pelancong ke negeri ini termasuk 4 juta bagi Langkawi pada tahun hadapan.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.