Siakap Keli
Gambar: Front Desk

(Video) Bagai ‘Air Terjun’, Komtar Dibanjiri Air

GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) — Kejadian air mengalir di tingkat 61 Komtar, di sini, berpunca daripada kontraktor yang sedang menjalankan kerja penggantian komponen utama sistem kebakaran di situ, tidak menutup paip utama sebelum menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Menurut kenyataan daripada PDC Setia Urus Sdn Bhd, dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, pekerja kontraktor Pleninex Engineering Sdn Bhd yang dilantik pihaknya, untuk menjalankan kerja-kerja tersebut secara tidak sengaja telah membuka penutup paip, tanpa menutup bekalan air terlebih dahulu.

“Berikutan itu, air telah mengalir keluar dengan laju terutama di laluan tangga, sehingga menyebabkan ia mengalir ke beberapa tingkat di bawah, dalam bangunan Komtar dan bekalan air ditutup serta merta supaya air tidak terus mengalir.

“Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kerosakan disebabkan kejadian air mengalir itu, semua lif untuk zon tinggi iaitu lif berwarna biru ditutup. Manakala lif zon pertengahan (hijau) dan rendah (kuning) ia berfungsi seperti biasa kerana limpahan air tidak mengalir sehingga aras berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kontraktor yang dilantik, Pleninex Engineering Sdn Bhd, menjalankan kerja penggantian komponen utama sistem kebakaran di Komtar sejak September lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 31 Dis ini.

Tambahnya, kejadian itu juga tidak menyebabkan berlaku masalah bekalan air di Komtar dan PDC Setia Urus Sdn Bhd telah mengambil tindakan segera, bagi menyelesaikan insiden air mengalir itu.

Berikutan kejadian itu, semua pekerja di tingkat 50 hingga 61 telah diarahkan keluar dari pejabat mereka, supaya kerja pembersihan dapat dijalankan. Tingkat 53 menempatkan pejabat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Seorang pekerja di tingkat 53 Komtar, yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 35, berkata beliau dan staf lain di tingkat tersebut terkejut apabila terdapat air jatuh melalui siling dan pada mulanya menyangka berlaku masalah tangki air.

Menurutnya, mereka terpaksa menggunakan tangga hingga ke tingkat 42, kerana lif hanya boleh diakses di situ untuk turun ke bawah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh yang dihubungi Bernama turut memaklumkan, sidang akhbarnya terpaksa berpindah dari Bilik Delima, tingkat 53 ke tingkat tiga akibat insiden itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.