Siakap Keli
Gambar: Xinhua

Nahas Bas Ragut 12 Nyawa Di Barat India

NEW DELHI, 23 Nov (Bernama) — Sekurang-kurangnya 12 orang termasuk seorang kanak-kanak dan lima wanita, maut manakala 10 lagi cedera dalam satu kemalangan di negeri Rajasthan yang terletak di barat India pada Sabtu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai polis tempatan.

Semua mangsa yang berasal dari daerah Latur di barat daya negeri Maharashtra dalam perjalanan ke sebuah tempat ibadat di daerah Hisar di utara negeri Haryana, kata Timbalan Superintenden Polis daerah Naguar, NR Chaudhary kepada Xinhua melalui telefon.

Beliau berkata nahas berlaku pada kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan di lebuh raya Kishangarh-Hanumangarh di Naguar, Rajasthan apabila bas mini yang membawa mangsa melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik selepas pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan itu.

Nahas berlaku berhampiran bandar Kuchaman dalam daerah Nagaur, kata pegawai polis itu.

Menurut beliau, empat mangsa yang cedera telah dimasukkan ke sebuah hospital tempatan manakala enam lagi yang parah dirujuk ke sebuah hospital pakar di ibu negeri Jaipur.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.