Siakap Keli

Bukan Mekap ‘Special Effect’, Viral Muka Cacat Kanak-Kanak Gaza Didakwa Mangsa Bom Fosforus

Baru-baru ini viral semula beberapa keping gambar kanak-kanak di Gaza dengan wajah yang cacat didakwa akibat menjadi mangsa bom fosforus.

Kanak-kanak berkenaan mengalami parut kecederaan menyerupai kesan terbakar sehingga menyebabkan kulit mereka rosak serta rambut dan kening tidak tumbuh semula.

Kecederaan berkenaan turut membuatkan wajah mereka menjadi senget dan seolah-olah ‘cair’, dipercayai kesan bahan kimia berkenaan.

Menurut The Guardian, tentera Israel pernah menggunakan fosforus putih pada Perang Gaza Disember 2008 – Januari 2009 yang ditembak di dalam kelongsong 155mm berhampiran rumah penduduk Palestin.

Dalam laporannya pada Mac 2009, akhbar itu mendakwa wartawan mereka menemui kelongsong yang masih berasap walaupun setelah beberapa hari peluru tersebut ditembak di luar rumah keluarga Abu Halima di Atatra.

“Satu kelongsong fosforus mengenai rumah berkenaan membunuh seorang lelaki bersama empat anaknya. Isterinya mengalami kecederaan terbakar yang teruk,” lapor media tersebut.

Ghada Abu Halima cedera teruk akibat bom berkenaan sebelum meninggal dunia. (Kredit: In Gaza)

Kejadian berkenaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang warga Gaza yang mati terbakar akibat bahan itu. Antara mangsa terlibat terdiri daripada tiga wanita, enam kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 tahun.

Puluhan yang lain pula mengalami kecacatan kekal yang merosakkan daging dan tisu mereka sehingga mencecah tulang. Doktor-doktor di Gaza juga menemui jalan buntu untuk merawat kecederaan terbakar luar biasa.

Kredit: Canadians for Justice and Peace in The Middle East

Fosforus putih terbakar apabila mengenai oksigen dan menyebabkan kebakaran dalam apabila mengenai kulit manusia hingga boleh mengenai tulang.

Senjata ini boleh digunakan di medan perang sebagai senjata untuk mengaburkan musuh ataupun untuk disasarkan kepada target tentera. Walaubagaimanapun, penggunaannya dikawal undang-undang antarabangsa dan tidak boleh digunakan ke atas orang awam.

Sumber: Ahmad Abu Alrish, The Guardian, 972Magazine

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.