Siakap Keli
Kredit: Nør Azam

Ditahan Macam Banduan, Pemuda Kongsi Pengalaman Pergi Korea ‘Balik Hari’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Siapa sangka percutian yang dinanti-nanti berakhir dengan sakit hati. “Bukan rezeki kami,” inilah yang difikirkan lima pemuda yang berhasrat melancong di Korea namun terpaksa dihantar pulang tanpa sebab yang jelas.

Walaupun boleh dikira sebagai kes terpencil, isu pelancong dihantar pulang ke negara asal bukanlah perkara yang asing lagi bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan pengembaraan pelancong Malaysia ke luar negara. Ada yang dihalang masuk ke Australia, Korea dan beberapa negara lain atas faktor tertentu mengikut imigresen negara terlibat.

Pengalaman ini turut dirasai saudara Nor Azam bersama empat rakannya ketika mereka melancong ke negara Kpop pada 6 November lalu. Mari baca perkongsiannya.

Pertama skali aku nak mintak maaf kalau cara penulisan aku agak berterabur sebab ni pertama kali aku kongsi pasal pengalaman kembara aku di media sosial. Aku malas sebenarnya nak menulis tapi ramai kawan-kawan aku suruh aku kongsi pasal benda ni, so here it is..

Setahun rancang nak ke Korea

Menurut Azam, mereka telah setahun merancang untuk ke negara Winter Sonata berkenaan. Setelah menyediakan apa yang patut, mereka pun menaiki penerbangan bertarikh 6 November untuk ke sana.

Bermula la kisah pengembaraan 5 anak muda ke Korea balik hari. Hahaha. Jadi sampai je ke Lapangan Penerbangan Incheon airport tu masing-masing dah teruja dah ni (benda setahun plan mahu tak teruja). Jadi kami beratur la macam biasa kan.

Sampai giliran aku je kat imigresen tu dia ambil passport aku lepastu dia macam berbual-bual dengan kawan sebelah dia sambil tunjuk-tunjuk passport aku. Aku dah rasa lain macam dah. Lepastu benda yang aku jangka sebelum ni terjadi.

Dia suruh aku tunggu kat tepi sambil dia kumpul semua kawan-kawan aku yang lain, lepastu kami dibawa ke bilik kuarantin a.k.a bilik termenung.

Kredit: Nør Azam

Untuk pengetahuan korang, semua benda aku dah sedia untuk semua ni. Semua dah cetak dan susun aku untuk setiap seorang.

  • Borang Pengisytiharan Kastam/Ketibaan (Arrival/Custom Declaration form)
  • Tiket balik
  • Itinerari lengkap 7 hari
  • Segala tempahan yang aku buat untuk taman tema, Nami Island dan sebagainya
  • Tempahan hotel
  • Surat pengesahan syarikat
    Semua benda alah ni aku dah print siap bagi setiap seorang dan aku dah suruh semua kawan aku fahamkan itinerari tu.

Soal siasat bermula

Jadi sesi soal siasat pun bermula.

Aku buat relaks jela jawab apa dia tanya (aku tak tau la kawan-kawan aku jawab macam mana) tapi aku jawab mana aku boleh jawab.

Pasal dia pun bukan tahu cakap Inggeris, dia pakai penterjemah. Kau kena cakap dekat telefon dia tu. Lepastu orang tu terjemahkan. Jadi aku tak rasa benda tu 100 peratus efisien. Tapi nak buat macam mana kan, negara diorang.

Aku pun jawab segala soalan pasal kerja, status aku, pasal syarikat aku kerja dan juga segala itinerari aku sepanjang kat sana.

Dipendekkan cerita, selepas sesi soal jawab selama lebih kurang 2 jam dia pun keluarkan satu surat dia suruh aku sain tapi aku tak nak sain (surat tak dibenarkan masuk Korea).

Aku cakap dengan dia tak boleh ke aku nak buat rayuan ke apa ke. Dia cakap tunggu dulu dalam bilik termenung tu. Aku pun tunggu dan tunggu dan tunggu sambil termenung dalam kelaparan.

8 jam berlalu, aku, kawan-kawan aku dan bersama beberapa lagi tahanan kena iring ke satu lagi bilik menunggu. Dah macam banduan aku rasa sebab kena beratur bertiga-tiga. Terkeluar dari barisan je kena marah weh!! Hahahhaha..

Dari aku kena tahan tadi sampai lah sekarang ni aku dengan kawan-kawan aku tak ada dapat air ke apa ke. Bapak lapar weh. Kali terakhir makan dalam penerbangan je.

Dekat bilik termenung lagi sekali ni basically tengah tunggu masa balik je jadi kami pun redha jela. Tapi kami sebenarnya tak diberitahu pun apa sebab kami tak lepas masuk, bila kami akan balik apa semua. Kami macam ‘tergantung sepi’ je kat situ.

Hisap rokok pun tak boleh lama-lama, kena jerit dengan diorang. Kira-kira lagi sejam sebelum penerbangan kami baru diorang bagi kami roti dan air satu. Tu je.

Jadi aku pun tanya dengan salah soerang pengawal kat situ yang macam ok sikit, boleh tak tengokkan kat papan putih tu kami balik pukul brapa. Dia cakap kami akan balik 11.30 p.m. malam tu. Sedap sikit hati ni sebab dapat balik.

Aku dah tak fikir apa dah, aku cuma fikir nak balik je tinggalkan tempat ni.

‘Rawat hati yang lara’

Nak dijadikan cerita lagi aku pun terasa la kesian kat kawan-kawan aku. Pasal ada 3 orang pertama kali melancong ke luar negara kena macam ni. Jadi aku tanya diorang berapa duit diorang ada. Buat kira-kira masa tu jugak dan aku ambil keputusan untuk bawak diorang pergi Bandung pasal Bandung ni dah macam kampung aku, tiap-tiap tahun aku pergi.

Aku pun hubungi la kenalan aku kat Bandung suruh tolong tempahkan apa yang patut. Yela benda betul-betul saat akhir. Dia pun setuju nak tolong semua. Alhamdulillah. Terima kasih Mas Bam nolongin aku. Siapa nak pergi Bandung boleh hubungi dia ni, Bambang Wahyu Prayudi.

Kredit: Nør Azam

Sampai KLIA2 pukul 5 pagi. Keluar pergi sarapan tunggu pengurup wang buka. Semua letak kereta kat Salak Tinggi terus balik KLIA2. Semua naik kapal terbang ke Jakarta pukul 2.30 p.m  dan habiskan semua cuti dan duit kami kat Bandung.

Jadi tu lah cerita macam mana aku dan kawan-kawan aku pergi Korea balik hari dan terus ke Bandung untuk menghiburkan hati yang lara.

Sebelum aku akhiri tulisan aku ni aku nak pesan pada semua orang yang nak ke Korea pastikan semua sedia cukup-cukup, kaji betul-betul. Tapi macam aku semua cukup tapi masih tak lepas. Anggap jela benda ni bukan rezeki. Rezeki aku dengan kawan-kawan aku kat Bandung di samping awek-awek Bandung yang cun. Sekian.

P/s: Kami turun kat Jakarta sebab penerbangan ke Jakarta lagi murah jauh sangat. Naik tren ke Bandung. Jadi dapat juga pergi dua tempat.

Aku kongsi sikit la gambar-gambar kat Bandung ni dan sikit gambar aku kat lapangan terbang Korea. Sebenarnya perjalanan yang random ni lagi best sebenarnya. Hehehehe.

Tambah Azam, jumlah wang yang lebur adalah RM 2 ribu setiap seorang. Mereka juga telah bertanya sebab tak dibenarkan masuk ke Korea namun dimarahi petugas di lapangan terbang berkenaan.

Sebelum ini, ada seorang lelaki turut menghadapi nasib yang sama gara-gara tidak tahu nombor bas yang bakal dinaikinya ketika disoal di imigresen.

Sumber: Nør Azam

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.