Siakap Keli
Kredit: Ipoh Firefighter

Tong Gas Ditemui Di Ruang Tamu, Dua Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Apartmen

IPOH, 24 Nov (Bernama) — Dua warga emas rentung dalam kebakaran sebuah unit apartmen di Taman Meru Impiana dekat Meru Raya, awal pagi ini.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Khairul Jamil berkata dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki dan wanita ditemukan dalam keadaan tertiarap masing-masing di bahagian ruang tamu serta koridor bilik di kediaman berkenaan.

Katanya seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan BBP Meru Raya dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 3.40 pagi.

“Kita menemui dua mangsa dalam keadaan tertiarap semasa hendak keluar dari apartmen tersebut yang mana kita jumpa dalam keadaan rentung,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Khairul berkata kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.45 pagi dan operasi turut dibantu anggota daripada Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Bercham serta Pekan Baru.

Sementara itu, pihak bomba dalam kemas kini memaklumkan mangsa yang maut adalah suami isteri dikenali sebagai Kamal Mustafa dipercayai berketurunan Arab dan isteri Kamariah Talib, seorang warga tempatan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata mangsa wanita berkenaan berumur 74 tahun, manakala lelaki juga berusia 70-an.

Beliau mendedahkan, siasatan awal pihak bomba telah menemukan dua tong gas di ruang ramu rumah tersebut yang sepatutnya berada di dapur.

Selain itu, katanya pihak polis telah menemukan sebuah kereta milik mangsa terbakar di luar kira-kira 500 meter dari unit apartmen itu.

“Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan bedah siasat ke atas mangsa yang 100 peratus terbakar.

“Buat masa ini, kes ini belum dapat diklasifikasikan sama ada perbuatan khianat dan bunuh atau bunuh diri, kita sedang lihat daripada semua sudut kerana mangsa dah berumur 70 tahun lebih, tidak tahu apa masalah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sumber: BERNAMA, Ipoh Firefighter

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.