Siakap Keli
Gambar: Merdeka

16 Penghuni Tinggal Sehelai Sepinggang, Rumah Sewa Terbakar

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) — Enam belas mangsa termasuk sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Padang Hiliran di sini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Norshah Shahri berkata kejadian pada 7.15 malam itu menyebabkan rumah separa kekal yang mempunyai 21 buah bilik sewa itu musnah 100 peratus.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam, empat jentera bersama 20 anggota telah diarahkan ke lokasi dan ketika pihak bomba sampai di lokasi, kebakaran telah merebak sebanyak 60 peratus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Katanya keadaan angin kuat menyebabkan api marak lebih cepat dan bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran tersebut.

Mohd Norshah berkata punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak bomba.

Sementara itu, seorang mangsa Mohd Thaqif Sulaiman, 32, berkata  beliau hanya menyedari rumah yang disewanya terbakar apabila melihat asap tebal dan bertindak memeriksa di bahagian belakang rumah.

“Saya lihat api telah marak dan saya menjerit meminta lima lagi rakan yang turut berada di dalam rumah ketika itu keluar menyelamatkan diri.

“Pada mulanya saya ingin masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan barangan berharga tetapi gagal kerana asap tebal dan pergerakan saya yang terbatas akibat kecederaan tulang belakang yang dialami selepas kemalangan Oktober lalu,” katanya.

Rakannya, Mohd Nazrul Mohd Yusoff, 39, yang merupakan seorang pemuzik berkata akibat kebakaran itu beliau mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas gagal menyelamatkan barangan peribadi dan alat muziknya.

Walau bagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku ketika kejadian itu.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa