Siakap Keli
Foto: Bernama

Kemalangan Dua Lori Ayam, Trafik KM162 Lebuh Raya PLUS Sesak

TANGKAK, 25 Nov – Kemalangan membabitkan dua kenderaan berat di Kilometer (km) 162, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Arah Utara tengah malam tadi menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira 5km ke arah utara dari Bukit Gambir ke Tangkak.

Menurut laman Twitter LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) Trafik, susulan kejadian itu, hanya lorong kecemasan boleh digunakan bagi memberi laluan kerja pengalihan dua kenderaan berat yang terbalik dan menghalang lalu lintas.

“Laluan bertentangan Arah Selatan dibuka pada 9.55 pagi ini dan kedua-dua arah dibuka semula pada 10.35 pagi ini,” demikian menurut laman itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, DSP Idris Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata kemalangan pada 12.55 tengah malam itu melibatkan sebuah lori membawa ayam dan daging serta sebuah lagi lori membawa ayam.

“Kemalangan tidak melibatkan kehilangan nyawa namun dua pemandu lori itu Othman Abd Manan Krishnan, 40, dan K. Thanabalan, 28, serta seorang kelindan lori ayam, M. Sarawanan, 31, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila lori membawa ayam dan daging dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur melanggar belakang sebelah kiri lori membawa ayam di lorong kiri dan menyebabkan kedua-dua lori hilang kawalan dan terbabas.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal kawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)