Siakap Keli

Paip Air Pecah Dikenal Pasti Punca Tanah Mendap, Kereta Terjerlus

Kuala Lumpur : Mendapan tanah yang berlaku akibat paip air bawah tanah milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang pecah dikenal pasti sebagai punca sebuah kereta terjerlus di Jalan Maharajalela pada lewat malam Ahad.

Pengarah Perancangan Koporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairul Azmir Ahmad dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, kerja-kerja baik pulih paip yang pecah dan penurapan semula permukaan jalan telah dilaksanakan oleh kontraktor Syabas.

“Keadaan sudah pulih seperti sediakala pada tengah hari ini manakala proses mengeluarkan kereta yang terjunam itu telah dilakukan oleh DBKL dengan bantuan agensi sahabat Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Pakar Geologi, Jabatan Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata kejadian tanah mendap seumpamanya juga boleh disebabkan oleh batu kapur di bawah permukaan.

”Sifat semulajadi batu kapur yang mudah terlarut menyebabkan ia mudah membentuk rongga di bawah tanah (subpermukaan).

”Kadang-kadang, apabila ada sesuatu infrastruktur tidak kiralah jalan atau bangunan dibina, ia dibuat tanpa penyiasatan terperinci tapak. Jadi bila berlakunya bebanan yang berat, kaviti (rongga-rongga kosong) ini akan runtuh dan terbentuklah lubang benam.

“Saiz lubang benam ini pula bergantung kepada saiz kaviti itu sendiri,” katanya ketika dihubungi sumber, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Tajul Anuar berkata kejadian lubang benam juga boleh disebabkan oleh faktor lain yang boleh menjadi pencetus seperti perubahan aras air bawah tanah dan gegaran seperti daripada kenderaan berat atau kerja penanaman cerucuk berhampiran.

”Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya agensi berkaitan yang ingin membina infrastruktur atau membina jalan, melakukan kajian geofizik yang terperinci di sesebuah kawasan bagi mengenal pasti kaviti yang ada,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.