Siakap Keli
Kredit: Yonhap News Agency

Tiga Maut, Seorang Hilang Kapal Nelayan Tenggelam Di Pulau Jeju

SEOUL, 25 Nov (Bernama) — Sebuah kapal menangkap ikan yang membawa 14 nelayan tenggelam di perairan di selatan pulau Mara pada Isnin, meragut tiga nyawa manakala seorang masih hilang, memetik polis maritim lapor agensi berita Yonhap.

Menurut Pengawal Pantai Seogwipo, kapal Changjin seberat 24 tan itu dilaporkan karam pada pukul 6.05 pagi kira-kira 87 kilometer barat daya Pulau Mara, sebuah pulau kecil kira-kira lapan kilometer dari selatan pantai Pulau Jeju.

Seramai 13 nelayan diselamatkan, tiga daripadanya termasuk kapten kapal berusia 61 tahun, dikenali Hwang, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di sebuah hospital di Jeju.

Dua lagi yang terbunuh dikenal pasti sebagai Kang, 69, dan Kim, 60.

Sepuluh mangsa yang selamat termasuk enam warga Indonesia kini menerima rawatan di hospital.

Pengawal pantai berkata misi mencari seorang lagi mangsa yang hilang dikenali Choi berusia 66 tahun, di sekitar lokasi nahas masih diteruskan.

Changjin berlepas dari pelabuhan di tenggara Tongyeong pada 1 Nov lalu dan dijadual kembali ke pelabuhan pada Selasa.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.