Siakap Keli
Gambar : Bernama

Tong Terbakar Dan Meletup Disyaki Mengandungi Cecair Pelarut Dan Sisa Cat – JAS

Kuala Selangor : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengesyaki 270 tong bahan kimia yang terbakar dan meletup di Jalan Kapar Batu 16 Kampung Tambak Jawa di sini awal pagi tadi mengandungi bahan cecair pelarut dan sisa cat.

Pengarah JAS Selangor Shafee Yassin berkata pihaknya menerima laporan mengenai pembuangan tong-tong itu pada Jumaat lepas dan sampel bahan berkenaan telah diambil untuk dianalisis dengan lebih lanjut oleh Jabatan Kimia.

“Jabatan Kimia sedang membuat analisis lebih teliti bagi mengenal pasti sama ada ia adalah bahan buangan berjadual atau bahan buangan tidak berjadual. Sejurus laporan mengenainya keluar dalam masa terdekat, ia akan dilupuskan mengikut tatacara yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal, kita mengesyaki bahan kimia itu berkemungkinan cecair pelarut dan sisa cat. Kedua-dua bahan ini tidaklah terlalu berbahaya namun ia mudah terbakar. Jika ia dalam kuantiti yang sangat banyak, ia boleh menjadi bahaya,” katanya ketika dihubungi sumber, di sini hari ini.

Tambah Shafee, hasil siasatan dan pemantauan di lokasi berkenaan sejak Jumaat lepas, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kilang yang dipercayai memiliki tong-tong itu.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik sebenar tong-tong yang dibuang di lokasi berkenaan dan jika didapati bersalah, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian sekitar 3.30 pagi tadi, sebanyak 270 tong mengandungi bahan kimia itu terbakar dan meletup, menghasilkan api yang marak, namun ia berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor hampir tiga jam kemudian.

Menurut beberapa penduduk yang ditemui Bernama di sekitar kawasan itu, tong-tong berkenaan didakwa telah dibuang di bekas tapak pembuangan sampah haram itu sejak minggu lepas dan aduan mengenainya telah dibuat kepada JBPM Selangor sebelum ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.