Siakap Keli
Kredit: Channel News Asia, CNN, AFP

(Video) Sekurangnya 29 Maut, Pesawat Terhempas Atas Bumbung Rumah Penduduk

Goma, Kongo: Sekurang-kurangnya 29 maut setelah sebuah pesawat membawa 17 penumpang terhempas ke sebuah kawasan perumahan di sini semalam.

Kata Gabenor Wilayah, Nzanzu Kasivita Carly, pesawat Busy Bee Dornier-228 yang dimiliki penerbangan peribadi Busy Bee terhempas ke atas rumah di daerah Mapendo, Goma tidak lama setelah ia berlepas dari lapangan terbang pada pagi Ahad.

Berikutan itu, penduduk setempat mengangkut air menggunakan baldi untuk memadamkan kebakaran yang berpunca daripada pesawat berkenaan.

Dalam satu video dikongsikan AFP, kabin pesawat yang tertanam dalam runtuhan rumah masih diselubungi asap.

Pesawat malang itu dilaporkan bakal menuju ke bandar Beni yang terletak 350 kilometer utara dari Goma sebelum ditimpa kemalangan yang didakwa berpunca daripada masalah teknikal dan kegagalan juruterbang mengendalikan perlepasan.

Menurut CNN, kemalangan melibatkan pesawat udara sering berlaku di negara ini, malah tiada penerbangan komersial negara berkenaan dibenarkan terbang di ruang udara Kesatuan Eropah berikutan kerisauan atas faktor keselamatan dan standard yang lemah.

Pada bulan lepas, sebuah pesawat kargo Antonov-72 yang menyediakan bantuan logistik untuk lawatan Presiden Kongo, Felix Tshisekedi bersama lapan kru dan penumpang lain dilaporkan hilang setelah berlepas dari Goma.

Sumber: Channel News Asia, CNN

Amira

Love yourself.

Nur Farra