Siakap Keli

Kerajaan Pertimbang Beri Pengecualian Pasang “Baby Car Seat” Untuk Keluarga Besar

Kerajaan dilapor sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai anak kecil sehingga tiada ruang secukupnya dalam kenderaan untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

“Kita sedar keluarga yang ada ramai anak dan tempat duduk tidak boleh memuatkan empat atau lima kerusi dalam kereta. Jadi keluarga besar akan diberi pengecualian sekiranya dalam sebuah kenderaan tersebut tidak membolehkan CRS dipasang dalam bilangan mengikut jumlah anak. Kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Menurut beliau lagi yang menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, tindakan penguatkuasaan yang bakal dijalankan bermula 1 Januari ini berhubung penggunaan CRS dilakukan dengan mengambil pendekatan pendidikan dan nasihat, bukan tindakan keras bagi mereka yang gagal mematuhi peraturan itu.

Menjawab soalan mengenai keputusan kerajaan mewajibkan semua kanak-kanak dengan ketinggian 135cm supaya menggunakan CRS, Kamarudin berkata ia kerana CRS direka khas untuk memberikan perlindungan kepada kanak-kanak disebabkan tubuh badan mereka masih diperingkat tumbesaran dan struktur tulang yang masih belum matang.

Katanya lagi, CRS juga membolehkan badan kanak-kanak menahan daya hentaman daripada impak kemalangan dengan lebih baik berbanding penggunaan tali pinggang keledar sahaja.

“Had ketinggian 135cm dinyatakan dalam peraturan CRS kerana bagi kanak-kanak yang melebihi ketinggian ini mereka telah mempunyai saiz tubuh badan yang lebih sesuai untuk menggunakan tali pinggang keledar biasa yang sedia ada dalam keadaan selamat.

“Ini kerana tali pinggang keledar tiga point dalam kenderaan adalah direka untuk penumpang dewasa dengan ketinggian 135 cm ke atas,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.