Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Trend Hantar Anak Ke Pusat Tahfiz : Usia Terlalu Muda Kurang Sesuai

Alor Setar : Menghantar anak ke institusi tahfiz atau pondok kini menjadi trend dalam kalangan ibu bapa Muslim yang semakin sedar akan manfaat pembelajaran al-Quran dan ilmu agama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Dr Salmee Said berkata menjadi harapan setiap ibu bapa untuk mempunyai anak yang soleh, namun adalah kurang sesuai jika anak-anak yang masih terlalu kecil sudah dihantar ke pusat tahfiz dan perlu tinggal di asrama.

“Bagi seorang Muslim, jika tidak cemerlang dalam bidang akademik pun tapi mampu menguasai ilmu agama pada tahap terbaik di samping berjaya menghafaz senaskhah al-Quran, mereka sudah boleh dianggap berjaya.

“Namun pada usia enam, tujuh tahun anak-anak ini masih memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa setiap masa dan kebanyakannya masih belum mampu menguruskan diri sendiri dengan baik dan sempurna,” katanya kepada sumber di sini.

Beliau berkata tindakan itu juga akan menambah bebanan kepada pihak pengurusan pusat tahfiz terutama para tenaga pengajar kerana perlu memberikan tumpuan khusus dan melayan pelajar-pelajar yang masih kecil dengan lebih istimewa.

“Bagi saya 13 tahun ke atas adalah tahap umur terbaik untuk menghantar anak-anak ke pusat tahfiz dan pilihlah pusat yang berdaftar dengan kerajaan kerana di sana mereka mempunyai kemudahan lebih baik dan tidak akan tercicir daripada menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Menurut Dr Salmee, Kedah merupakan antara negeri yang mempunyai banyak pusat tahfiz dan pondok khusus untuk pembelajaran ilmu agama yang sering menjadi pilihan ramai ibu bapa termasuk dari luar negeri ini.

“Terdapat 75 pusat tahfiz dengan lebih 5,000 pelajar di Kedah dan itu yang sudah berdaftar dengan kerajaan, yang belum mendaftar pun sangat banyak lagi, manakala pondok ada 26 yang berdaftar setakat ini,” katanya.

Melontarkan pandangan berbeza, Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Auzaid Ismail menegaskan, pengambilan pelajar tahfiz pada usia seawal tujuh tahun lebih relevan memandangkan usaha melentur buluh lebih mudah jika bermula daripada rebungnya.

“Anak-anak kecil lebih mudah dibentuk dan kenakalan mereka ini tidak sama dengan remaja belasan tahun kerana pada usia itu kebanyakannya sudah pandai membantah dan melawan,” katanya yang mempunyai lebih 50 pelajar berusia tujuh hingga 18 tahun di pusat tahfiznya di Wang Tepus, Jitra.

Dalam pada itu, Auzaid berkata ibu bapa juga perlu sedar bahawa institusi pengajian agama itu bukanlah pusat pemulihan akhlak dan jika anak-anak bermasalah, mereka harus dihantar ke tempat yang sepatutnya, bukan ‘dilonggokkan’ di pondok atau pusat tahfiz sehingga memberi kesan kepada pihak lain.

“Anak-anak tahfiz juga perlu dididik supaya menganggap setiap rakan mereka seperti keluarga sendiri dan bila dah macam adik-beradik, risiko buli dapat dikurangkan atau memang tak akan timbul langsung,” katanya yang turut mengusahakan produk berasaskan madu kelulut untuk menampung kos pengurusan pusat tahfiznya.

Auzaid berkata perkara yang boleh menimbulkan fitnah juga harus dielakkan seperti menyuruh pelajar meminta derma di luar pusat tahfiz kerana ia akan mendedahkan mereka dengan pelbagai gejala negatif.

“Bila mereka keluar dan berpeluang bergaul dengan ramai remaja lain, mungkin ada yang bermasalah dan akan mempengaruhi mereka. Kita tidak mahu akhlak anak-anak tahfiz terjejas dan kita mahu al-Quran sentiasa di dada, jadi mereka perlu tumpukan kepada pengajian semata-mata,” katanya.

Sementara itu bagi Asmanizam Mohd Isa, 43, beliau menghantar kesemua tiga anaknya ke pusat tahfiz selepas tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan seorang daripada anaknya kini sedang meneruskan pengajian agama di sebuah pesantren atau pondok di Indonesia.

“Harapan saya adalah supaya anak-anak faham hukum agama dan setakat ini saya bersyukur dan berpuas hati dengan akhlak mereka kerana bila ditegur mereka tidak melawan dan jika balik bercuti, budaya tahfiz itu dibawa ke rumah, mereka tidak keluar sembarangan hingga menimbulkan kebimbangan keluarga.

“Saya juga tidak rasa ibu bapa boleh lepas tangan dalam mendidik selepas menghantar anak-anak ke pusat tahfiz. Mendidik adalah tanggungjawab bersama dan peranan ibu bapalah yang paling penting untuk menjadikan anak-anak itu sebagai insan yang cemerlang,” kata ibu berasal dari Sungai Petani itu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.