Siakap Keli
Gambar hiasan

ADUN Gadek Yang Didakwa Di Bawah SOSMA Dibenar Mohon Ikat Jamin

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan yang didakwa memberikan sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE, dibenar mengemukakan permohonan untuk diikat jamin.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berpelembagaan.

Saminathan, 34, ditahan reman di Penjara Sungai Buloh di bawah SOSMA yang menafikannya diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata, Seksyen 13 SOSMA adalah tidak berpelembagaan kerana ia melepaskan kuasa budi bicara kehakiman daripada mahkamah untuk menilai sama ada perlu atau tidak membenarkan atau menolak jaminan.

“Saya harus tegaskan bahawa keputusan ini tidak bermakna pemohon mesti atau patut dibenarkan ikat jamin. Keputusan ini hanya mengesahkan kuasa memberi jaminan tidak boleh dihadkan atau dilarang kerana bertentangan dengan Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata Seksyen 13 SOSMA menyatakan bahawa mahkamah dilarang memberikan ikat jamin kepada individu yang didakwa dengan kesalahan berkaitan keganasan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan kerana pengambilan kuasa mahkamah untuk mempertimbangkan ikat jamin bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa.

Beliau berkata adalah cukup baik bahawa kuasa untuk memberikan atau menolak ikat jamin diletakkan di bawah mahkamah.

“Ini juga sesuai dengan anggapan tidak bersalah dan objektif jaminan iaitu untuk memastikan kehadiran tertuduh sewaktu perbicaraan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan juga berkata kuasa kehakiman atau kuasa untuk menilai perkara-perkara sivil atau jenayah yang dibawa ke mahkamah adalah eksklusif untuk mahkamah.

“Kuasa kehakiman adalah pusat doktrin pemisahan kuasa antara Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman yang merupakan ciri asas dalam struktur dasar Perlembagaan.

“Apa-apa pengambilan kuasa kehakiman oleh mana-mana cabang lain dalam kerajaan melanggar kesucian doktrin pemisahan kuasa, melanggar struktur dasar Perlembagaan, oleh itu ia tidak berpelembagaan,” katanya.

Saminathan yang memakai kemeja T berwarna kelabu, tidak dapat menahan air mata ketika berada dalam kandang tertuduh dan memeluk isterinya sebaik sahaja prosiding selesai.

Turut hadir beberapa ahli politik termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Pada 1 Nov lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubungan jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Selain Saminathan, mereka yang lain ialah ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaran, 60; pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S.Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V. Suresh Kumar, 43; dan peniaga B. Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Sementara itu, peguam Saminathan, Sangeet Kaur Deo ketika ditemui selepas prosiding itu berkata beliau akan membuat permohonan ikat jamin untuk Saminathan di Mahkamah Sesyen minggu hadapan.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi berkata pihak pendakwaan akan menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk mengemukakan rayuan atas keputusan mahkamah itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.