Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Enam Bulan Penjara Balasan Menyamar Polis Untuk Kutip RM1

Raub : Padah menyamar anggota polis untuk mengutip RM1 menyebabkan seorang penganggur kini meringkuk di penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Shahrul Ehsan Hasim memerintahkan hukuman terhadap Mohammad Ali Zainal, 33, yang beralamat di Kampung Kuala Atok di sini, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu Rabu lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.30 tengah hari, 27 Nov lalu di Jalan Tun Razak di sini, kepada dua penumpang bas yang semasa itu dalam perjalanan ke Putrajaya dari Raub.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis tanpa menunjukkan kad kuasa dan meminta penumpang mengeluarkan MyKad mereka, selain mengutip RM1 daripada mereka.

Perbuatan tertuduh menyebabkan seorang daripada penumpang lelaki mengadu kepada pemandu bas yang terus memandu ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatan penumpang lain.

Pada prosiding itu, tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya kerana mendakwa akan berkahwin pada bulan hadapan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Shamfuliza Azami bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang mempunyai lapan rekod kesalahan lampau dadah dan curi.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.