Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Ini Penjelasan Kenapa Waktu Solat Subuh Ditambah 8 Minit & Kenapa Hanya Selangor Berubah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pengumuman perubahan waktu solat subuh yang ditambah sebanyak lapan minit dari waktu asal di negeri Selangor, mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Perubahan tersebut diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 28 November 2019, telah dikuatkuasakan bagi Negeri Selangor bermula hari ini, 29 November 2019.

Timbul pelbagai persoalan dalam kalangan netizen berhubung isu ini di mana ada yang mempersoalkan seperti mengapa perubahan ini hanya diaplikasikan di negeri Selangor dan bukannya di semua negeri.

Tampil memberi pencerahan, Prof Madya Dr Saadan Man, Pensyarah Fiqh Semasa Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya, memberi sedikit penjelasan agar semua mendapat pemahaman yang jelas.

Soal Jawab Isu Solat Subuh Lewat 8 Minit di Selangor

S1: Kenapa tiba-tiba waktu solat subuh di Selangor dilewatkan?

J1: Ia berdasarkan penemuan dari kajian oleh Jakim, yang diketuai oleh Universiti Malaya dan dianggotai oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan yg lain.

S2: Kenapa Selangor sahaja yang ubah?

J2: Ia akan dilakukan oleh negeri lain bila tiba masanya. Pihak negeri dengan kuasa undang-undang yang ada berhak mengumumkan keputusan di peringkat negeri masing-masing.

Selangor telah membuat pemakluman lebih awal dari negeri lain iaitu pada hari ini 28.11.2019 dan mengumumkan tarikh kuatkuasa pada keesokannya iaitu pada 29.11.2019

S3. Adakah solat subuh selama ini yang awal 8 minit dari waktu baru tidak sah?

J3: Tidak timbul soalan itu kerana solat subuh selama ini berdasarkan kepada ijtihad dan ilmu yang sah dan dilegalized secara rasmi melalui jabatan Mufti negeri. Waktu solat walaupun hadnya adalah sabit secara qatie, penentuan dan perinciannya adalah zanni dan tertakluk kepada ijtihad semasa berdasarkan penyelidikan/ istiqra’.

Adalah tersangat sukar dan agak mustahil mewujudkan taqwim solat yang betul-betul mengikut waktu yang sangat tepat hingga ke arka saat pada setiap lokasi. Waktu dalam taqwim pun sudah dimasukkan tempoh ihtiyat/ berwaspada.

Lagipun jika solat berjamaah subuh di masjid atau surau, persoalan ini tidak timbul kerana biasanya ada tempoh menunggu yang agak senggang iaitu dari 10-15 minit selepas azan dilaungkan, barulah solat subuh didirikan.

S4: Selangor telah umumkan waktu subuh 8 minit lebih lewat, jadi bagaimana dengan negeri-negeri lain, terutamanya KL, Putrajaya, N9 dll yang bersempadan Selangor?

J4: Setiap penduduk negeri perlu patuh kepada arahan Ulul Amri negeri masing-masing. Ulul Amri negeri ialah DYMM Sultan atau Raja bagi negeri beraja dan TYT Yang Dipertua Negeri bagi negeri tidak beraja .

Jika WP KL, Labuan dan Putrajaya, hendaklah mengikut YDPA. Selagi tiada arahan baharu dikeluarkan, waktu sedia ada adalah sah diikuti kerana urusan agama ditentukan oleh pihak Ulul Amri, rakyat hanya ikut dan taat setia.

S5: Adakah ia melibatkan waktu solat lain dan waktu syuruk?

J5: Tidak. Waktu lain tidak terlibat kerana keputusan ini khusus melibatkan solat subuh sahaja. Cuma bagi waktu imsak, ia juga dilewatkan iaitu 10 minit sebelum bermula subuh. Waktu syuruk iaitu waktu berakhirnya subuh/ terbit matahari kekal sebagaimana yg ada dalam taqwim solat.

Semoga bermanfaat.

Profesor Madya Dr Saadan Man

28.11.2019

Sumber : Prof Madya Dr Saadan Man

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.