Siakap Keli

Period Tapi Mengandung, Bolehkah Ia Berlaku? Ini Penjelasannya

Membuat ujian kehamilan dan mendapat hasil positif, sudah tentu menjadi perkhabaran yang membahagiakan. Eh, nanti dulu, tetapi kenapa pula ada darah? Bolehkah kita period tapi mengandung?

Bolehkah period tapi mengandung?

Apabila seseorang individu wanita itu hamil, dia tidak akan melalui proses ovulasi. Keadaan ini sekali gus akan menghentikan kedatangan period. Ini kerana darah haid hanya akan keluar apabila seseorang individu itu tidak mengandung.

Kitaran haid berlaku untuk memudahkan proses kehamilan. Ia bermula pada hari pertama seseorang individu itu didatangi haid dan berakhir sebelum hari pertama untuk kitaran yang seterusnya. Ovulasi pula adalah apabila ovari mengeluarkan ovum, ia berlaku pada pertengahan proses kitaran haid.

Ovum hanya dapat bertahan untuk tempoh 12 hingga 24 jam selepas proses ovulasi berlaku. Sekiranya sperma hadir dan berjaya menembusi serta bersenyawa dengan telur, maka ovum akan menempel pada dinding rahim; keadaan ini bermakna anda hamil.

Jika tiada persenyawaan berlaku, haid akan hadir dan badan akan meluruhkan lapisan rahim supaya ia boleh menghasilkan dinding rahim baru untuk kitaran haid yang seterusnya.

Jadi bagi menjawab persoalan, adakah boleh untuk anda period tapi mengandung? Jawapan paling tepat, adalah tidak. Namun, terdapat beberapa keadaan yang memungkinkan untuk berlakunya pendarahan ketika mengandung.

Faktor pendarahan

Pendarahan yang berlaku pastinya mendatangkan kebimbangan kepada individu wanita yang sedang hamil. Tetapi sebenarnya, sesetengah pendarahan yang berlaku tidaklah membahayakan dan mungkin bersifat sementara.

Berikut adalah beberapa keadaan yang memungkinkan pendarahan untuk terjadi:

Waktu kitaran haid

Period atau darah haid yang muncul ketika anda disahkan hamil adalah kerana proses persenyawaan yang berlaku ketika seseorang individu wanita itu hampir period. Umumnya, proses persenyawaan tidak akan berlaku sejurus selepas hubungan seks dilakukan.

Persenyawaan biasanya berlaku selepas beberapa hari hubungan intim antara pasangan dilakukan. Terdapat kemungkinan pada ketika telur berjaya disenyawakan adalah hari yang sepatutnya individu wanita tersebut didatangi haid. Segalanya tidak mustahil untuk terjadi, bukan?

Kadar hormon

Punca lain yang boleh mendasari sebab anda period tapi mengandung adalah disebabkan kadar hormon progesteron di dalam badan yang rendah. Situasi ini mungkin berlaku apabila dinding rahim tidak begitu kukuh dan jatuh, akhirnya ia mengakibatkan terjadinya haid.

Hubungan seks

Adakalanya pendarahan juga boleh berlaku apabila anda melakukan hubungan seks ketika hamil dan darah yang keluar itu disangka sebagai period. Sedangkan apabila seseorang individu wanita itu mengandung, akan berlaku perubahan pada permukaan serviks. Keadaan ini sekali gus boleh menyebabkan darah keluar apabila melakukan hubungan intim.

Jangkitan

Jangkitan kuman juga boleh menjadi antara penyebab mengapa anda period tapi mengandung. Jika keadaan ini berlaku, anda perlu mendapatkan rawatan segera kerana terdapat risiko kemudaratan yang boleh mengancam kandungan.

Kehamilan ektopik

Sekiranya pendarahan berlaku dalam minggu ke-4 kehamilan dan ke atas, ia mungkin merupakan masalah kehamilan ektopik atau bahasa mudahnya, kehamilan di luar rahim. Ia berlaku apabila tumbesaran janin berlaku di tiub fallopian. Semestinya ia merupakan satu keadaan yang boleh mengancam nyawa ibu.

Masalah uri

Sekiranya kehamilan anda sudah melepasi tempoh minggu ke-24, namun berlaku pendarahan, ia mungkin petanda masalah serius. Anda disarankan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dengan doktor pakar sakit puan.

Pendarahan yang berlaku mungkin disebabkan keadaan yang dipanggil placenta previaiaitu uri terletak di bahagian bawah atau placenta abruption di mana uri terlepas dari dinding rahim.

Rawatan doktor

Seseorang individu wanita perlu mendapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami beberapa simptom seperti:

  • Rasa kesakitan dan kekejangan
  • Pening atau pitam
  • Pendarahan berat atau pembekuan darah
  • Kesakitan pada bahagian perut dan pelvis

Jika anda mengalami sebarang simptom yang disebutkan di atas atau berlaku pendarahan yang semakin teruk, anda harus segera berjumpa doktor. Ini kerana terdapat kebarangkalian punca yang menyebabkan pendarahan berlaku boleh mengancam nyawa anda dan kandungan.

Langkah pencegahan

Mengalami pendarahan ketika hamil sudah tentu mendatangkan kegusaran pada setiap wanita. Namun terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya pendarahan ketika hamil.

Berhati-hati 

Cara paling mudah untuk mengatasi daripada berlakunya pendarahan adalah dengan berhati-hati. Malahan ia merupakan satu langkah yang perlu sentiasa diamalkan sepanjang tempoh kehamilan.

Setiap individu wanita yang disahkan mengandung perlu mengikuti nasihat yang diberikan doktor dan sentiasa menjaga kesihatan diri dan juga bayi dalam kandungan. Jangan sekali-kali mengambil mudah mengenai kesihatan bayi dalam kandungan dan juga anda.

Kerja berat

Anda mungkin merupakan seorang individu wanita yang boleh melakukan segala-galanya dengan sendiri. Anda mungkin bukan seorang individu yang gemar meminta bantuan individu lain dan boleh berdikari sendiri.

Tetapi sebaik sahaja anda disahkan hamil, tidak kira siapa pun anda sebelum ini, anda harus menghindarkan diri daripada melakukan sebarang kerja mahupun tugasan berat. Ini kerana ia berisiko mengakibatkan mudarat kepada kesihatan ibu dan juga bayi dalam kandungan.

Stres

Kebanyakan individu beranggapan bahawa tempoh kehamilan adalah satu waktu yang membahagiakan. Mungkin juga, namun, ia tidak berlaku kepada setiap wanita yang hamil. Adakalanya, tekanan disebabkan faktor sekeliling boleh menyebabkan berlakunya pendarahan. Sebaiknya anda perlu mengawal emosi dan elakkan daripada menjadi terlalu tertekan.

Pemeriksaan segera

Jika secara tiba-tiba anda mengalami pendarahan yang banyak serta diikuti dengan rasa sakit pada bahagian perut, ia mungkin satu perkara yang melibatkan situasi yang serius. Anda perlu segera mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor.

Keadaan ini berlaku mungkin kerana uri berada pada bahagian bawah rahim atau uri tercabut daripada rahim dan memerlukan perhatian doktor.

Akhir kata

Ketika anda disahkan hamil, penjagaan kesihatan kandungan adalah amat penting untuk menjamin proses tumbesaran janin yang baik dan sihat. Dalam masa yang sama, penjagaan ibu hamil juga tidak boleh diabaikan.

Ia melibatkan aspek penjagaan pemakanan, aktiviti harian serta perlu mendapatkan rehat yang mencukupi. Elakkan sebarang pekerjaan berat yang boleh mendatangkan bahaya sama ada kepada anda mahupun kandungan.

Pendarahan yang berlaku tidak bermakna seseorang individu wanita itu mengalami period. Adakalanya pendarahan tersebut berlaku disebabkan perubahan pada badan ketika mengandung.

Sekiranya pendarahan yang berlaku mendatangkan kegusaran kepada anda, cara yang paling terbaik untuk memastikan anda benar-benar hamil dan kandungan anda berada dalam keadaan selamat adalah dengan mendapatkan pemeriksaan doktor. Jangan ambil mudah, okay?

Sumber: Hello Doktor

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)