Siakap Keli

(Video) Gol Safawi Rasid Jadi Tumpuan Asia, Sedang Mendahului Carta Undian

Nama Safawi Rasid di dalam arena sukan bola sepak Malaysia sememangnya sering diperkatakan. Apa tidaknya, aksi yang dipamerkan olehnya sering menjadi ‘masalah’ kepada pertahan pasukan lawan. Aksi lincah mengelecek dan tendangan percuma yang dihasilkannya sering memukau mata rata-rata peminat sukan itu.

Pemain skuad kebangsaan yang juga bermain untuk pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sering memberikan aksi yang terbaik bagi membantu pasukannya memenangi setiap perlawanan. Antara aksi menarik yang dipamerkan oleh Safawi Rasid ketika mewakili JDT adalah ketika menentang pasukan Shandong Luneng bagi 2019 AFC Champions League bulan April lalu.

Ketika perlawanan itu, Safawi telah berjaya menggegarkan jaring pasukan lawan menerusi sepakan kaki kiri dari luar kotak penalti. Jaringan tersebut telah mendapat pujian rata-rata peminat sukan bola sepak tanah air.

Terbaru, menerusi tweet terbaru daripada Twitter #ACLFINAL, jaringan tersebut telah dicalonkan dalam 10 jaringan terbaik bagi anugerah AFC Champions League 2019 Best Goals.

Selain jaringan cantik daripada Safawi, pihak Konfederasi Bola Sepak (AFC) turut menyenarai pendek sembilan lagi jaringan untuk undian daripada orang ramai.

Sehingga artikel ini ditulis, jaringan Safawi sedang mendahului carta undian dengan 56% diekori gol dari Khalilzadeh.

 

Bagi sesiapa yang ingin mengundi jaringan yang dihasilkan oleh Safawi Rasid, anda boleh berbuat demikian menerusi pautan ini.

Sumber: #ACLFinal

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa