Siakap Keli

Air Dididih Guna ‘Microwave’ Perlu Dikacau Sebelum Minum, Ini Sebabnya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Barangan eletrik seperti microwave membantu memudahkan pengguna untuk memanaskan makanan dalam tempoh yang cepat. Tetapi, ada yang menjadikan fungsi microwave lebih fleksibel di mana ia digunakan untuk mendidihkan air.

Persoalannya, adakah kita boleh melakukannya? Ini kerana setiap barangan yang diciptakan telah mempunyai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri.

Jangan ambil remeh, bimbang ianya membawa masalah kepada kesihatan kelak. Ikuti penjelasan oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Ketuhar gelombang mikro

Microwave atau ketuhar gelombang mikro merupakan satu peralatan rumah yang dicipta pada tahun 1940-an. Ia memudahkan dan mempercepatkan tugasan rumah, serta boleh digunakan untuk pelbagai perkara.

Walau bagaimanapun, isu mengenai kesan ketuhar gelombang mikro terhadap kesihatan masih menjadi kontroversial. Sehingga kini tiada bukti konklusif menunjukkan bahawa gelombang mikro mempunyai kesan yang boleh mengakibatkan kanser. Jadi penggunaan microwave boleh dianggap sebagai peralatan elektrik yang selamat untuk digunakan.

Didihkan air guna ketuhar gelombang mikro

Apa yang berlaku jika menggunakan ketuhar gelombang mikro ini untuk mendidihkan air? Ketuhar gelombang mikro akan menggunakan gelombang elektromagnetik yang bergerak pantas dan ia akan menyebabkan terhasilnya geseran antara molekul air untuk menghasilkan haba.

Terdapat satu kajian yang mengesahkan bahawa kepelbagaian suhu dalam ketuhar gelombang mikro ini boleh mempengaruhi sifat-sifat air sekali gus memanaskan air hingga ke suhu mendidih.

Hasil kajian itu mendapati gelombang elektromagnet dalam ketuhar gelombang mikro memanaskan molekul air secara rawak. Ini bermakna jika dipanaskan untuk tempoh yang sepatutnya, mungkin akan wujud lapisan air mendidih di bawah air sejuk.

Kacau air sebelum menggunakannya

Jadi secara ringkasnya, anda boleh didihkan air menggunakan microwave tetapi pastikan anda mengacau air tersebut sebelum menggunakannya. Malahan anda juga digalakkan untuk menggunakan cawan yang dikhaskan untuk kegunaan ketuhar gelombang mikro.

Cara selamat mendidihkan air

Berikut adalah enam cara mudah yang boleh anda ikuti untuk mendidihkan air menggunakan ketuhar gelombang mikro:

  1. Gunakan mangkuk khusus untuk microwave. Mangkuk seramik atau kaca adalah pilihan terbaik.
  2. Tuangkan air ke dalam bekas yang tidak bertutup. Jangan tutup bekas tersebut.
  3. Panaskan dalam tempoh yang pendek. Kacau selang 1-2 minit sehingga air mendidih.
  4. Ketuk sisi mangkuk untuk memeriksa sama ada terlebih panas atau tidak. Tindakan ini juga dapat mengganggu molekul haba dan membebaskan haba yang terperangkap.
  5. Keluarkan bekas tersebut dengan berhati-hati. Anda boleh gunakannya untuk pelbagai kegunaan seperti membancuh teh, coklat panas ataupun kopi.

Jika anda ingin menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk didihkan air, pastikan anda menggunakan cara dan kaedah yang betul.

Berhati-hati sewaktu mengendalikan air panas daripada microwave untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang tidak diingini.

Sumber : Asyikin Md Isa via Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.