Siakap Keli

Diet Mediterranean Kurangkan Risiko Berlakunya Masalah Pendengaran

Siapa kata pemakanan tidak memberi pengaruh besar? Apa pun yang kita masukkan ke dalam mulut kita, kesemuanya memberikan perubahan kepada tubuh sama ada sedikit ataupun banyak. Apatah lagi jika apa yang anda makan itu jelas sekali bermanfaat, hanya bergantung kepada diri kita sendiri sahaja sama ada mahu memakannya atau tidak.

Diet Mediterranean elak masalah pendengaran

Satu kajian telah mendapati, makan secara sihat berpotensi menghentikan seseorang individu daripada menjadi pekak apabila sudah tua kelak. Kajian tersebut mendedahkan bahawa, individu yang mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang, sayuran berdaun serta makanan laut dan ikan, kurang cenderung untuk melaporkan masalah pendengaran yang semakin berkurangan.

Jenis makanan yang dilihat terbaik bagi kesihatan pendengaran adalah jenis-jenis makanan yang terdapat dalam diet Mediterranean. Dalam kajian tersebut, individu yang mengambil jenis makanan yang paling hampir dengan diet Mediterranean ini didapati memiliki sehingga 30% risiko yang lebih rendah untuk mengalami penurunan tahap pendengaran.

Sekumpulan saintis dari Brigham dan Women’s Hospital di Boston, Massachusettes telah membuat kajian ini keatas 3,135 orang wanita dengan purata umur 59 tahun. Pendengaran peserta-peserta kajian ini diuji dalam tempoh tiga tahun dan pengkaji turut melihat kepada maklumat berkenaan diet yang mereka amalkan. Pada kadar pertengahan, wanita-wanita ini didapati mempunyai 30% kecenderungan yang lebih rendah untuk mendapat masalah pendengaran jika mengambil diet yang sihat.

Risiko kehilangan pendengaran boleh dikurangkan melalui diet

Menurut Dr. Sharon Curhan, ketua penyelidik bagi kajian ini, persepsi yang biasa kita dapati ialah kehilangan pendengaran ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan ia merupakan salah satu daripada proses penuaan. Walau bagaimanapun, kajian mereka memberikan penumpuan kepada perkara-perkara yang boleh kita ubah dalam diet harian dan gaya hidup untuk mengelakkan kehilangan pendengaran atau sekurang-kurangnya memperlambatkan ia daripada berlaku.

Menurut Dr. Sharon lagi, manfaat pematuhan terhadap corak pemakanan yang sihat telah dikaitkan dengan pelbagai kesan positif terhadap kesihatan dan makan secara sihat juga boleh membantu dalam mengurangkan risiko bagi seseorang individu untuk mendapat masalah berkaitan pendengaran.

Jenis diet yang dibuat perbandingan dengan diet harian responden adalah diet Alternate Mediterranean, Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) dan Alternate Healthy Index-2010. Ketiga-tiga jenis diet ini menumpukan kepada pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak, pengurangan daging, produk tenusu dan makanan yang diproses, selain menambahkan pengambilan ikan, kekacang dan legum.

Makanan yang tidak sihat dan berlemak diketahui menyempitkan salur darah dan mengurangkan bekalan darah. Dr. Sharon menyatakan, aliran darah ke bahagian dalam telinga yang tidak mencukupi boleh meningkatkan risiko untuk ia menjadi bengkak atau rosak.

Kita semua tahu bahawa pemakanan yang tidak sihat menyumbang kepada berlakunya pelbagai jenis risiko penyakit-penyakit kronik. Cuba gantikan beberapa hidangan harian anda dengan jenis makanan yang lebih sihat seperti kerabu dan salad. Banyakkan mengambil sumber makanan laut seperti ikan tuna dan tenggiri kerana jenis-jenis ikan ini kaya dengan kandungan asid lemak omega-3 yang diketahui baik untuk tubuh terutamanya otak anda.

Sumber: Hello Doktor

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.